SAUDARA PENGARANG,
MENCURI tumpuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini adalah menentukan parti manakah yang berjaya membentuk sebuah kerajaan baharu sekali gus akan mengangkat calon Perdana Menteri ke-10. Mungkin Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Peliknya, mengapa Pas tidak menamakan Presidennya sebagai calon Perdana Menteri sedangkan parti itu serius mendaulatkan Islam di negara ini?
Sebagai pengundi atas pagar, banyak perkara perlu diteliti sebelum mengundi calon pilihan raya dan akhirnya akan membentuk kerajaan baharu yang boleh membawa negara ini ke arah lebih baik.
Sudah pasti pengundi akan mengambil kira gaya pimpinan Muhyiddin selama 17 bulan menjadi Perdana Menteri. Begitu juga ketika Ismail Sabri mentadbir negara.
Di pihak BN sendiri lewat menamakan senarai calon bertanding berbanding parti pembangkang yang terlebih dahulu menyelesaikan serta menamakan calon dan kawasan bertanding.
Sungguh tidak menyangka dan bijak sekali tindakan Timbalan Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli yang sebelum ini senyap dalam rena politik. Mohd. Rafizi telah mempamerkan watak sebenar seorang perancang perang yang berotak bergeliga malah percaturan perangkap maut yang dipasangnya sedikit sebanyak mengundang rasa gerun pada pihak parti lawan.
Menariknya, ada sahaja modal atau isu melibatkan pemimpin politik tertentu cuba dibongkarkannya sehingga ke lubang cacing. Tindakan beraninya mendedahkan sisi gelap pemimpin tertentu sedikit pun tidak menggoyahkan semangat beliau meskipun datang pelbagai ugutan dan sebagainya.
Jadi, nilaikanlah sendiri pemimpin politik manakah boleh membawa perubahan besar buat negara ini ke arah yang lebih baik.-UTUSAN
TOK WALI SONGEI
Bayan Mutiara, Pulau Pinang