Kenapa masih gemar guna ‘pintu belakang’

Kenapa masih gemar guna ‘pintu belakang’

PENGUNDI lebih suka pemimpin yang telah diuji dan terbukti berjaya mentadbir negara. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN Perak yang baharu telah ditubuhkan yang menyaksikan Datuk Seri Saarani Mohamad daripada parti yang kalah iaitu Barisan Nasional (BN) telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.

Seperti yang disebut oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim, langkah itu bertentangan dengan sistem demokrasi yang menekankan parti yang mendapat undian terbanyak yang perlu menjadi pemerintah.

Beliau berkata, prinsip demokrasi bermakna suara ramai mengatasi suara minoriti. Ini bermakna, kalau sesuatu parti itu kalah teruk dalam pilihan raya, waima apa pun parti itu, ia tidak boleh dimasukkan dalam kalangan pihak yang berkuasa.

Ketika pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Perikatan Nasional (PN) memperoleh 26 kerusi, Pakatan Harapan (24) dan BN (sembilan).

Pendirian Rais ini selaras dengan apa yang ada dalam pemikiran kami sekeluarga yang pergi mengundi baru-baru ini. Kami mempunyai harapan dan kepercayaan besar akan dapat menyingkirkan parti yang masih memberti ruang kepada semua mereka yang mempunyai kes di mahkamah.

Kami mengharapkan sebuah kerajaan bersih dan adil yang akan bebas daripada sebarang beban dan hanya mengutamakan kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, tidak lama selepas keputusan itu, kami merasakan keseluruhan proses pilihan raya adalah sia-sia kerana mereka yang kami ingin hapuskan kembali berada dalam kancah politik arus perdana.
Parti yang telah menjanjikan hari esok yang lebih baik kepada semua orang akhirnya telah mendedahkan warna sebenar dan kini lebih bersedia untuk tidur dengan musuh.

Adakah ini dilakukan untuk kebaikan negara atau untuk memenuhi hasrat seorang individu untuk mendapatkan kuasa dan satu pihak lagi meneruskan percubaan yang tidak berkesudahan untuk mengelak daripada menjalani hukuman penjara?

Kami mengundi untuk perubahan dan bagi memastikan wujud kerajaan yang boleh membantu mengemudi negara kembali ke landasan betul setelah dibadai pandemik Covid-19.

Ketika itu, apabila jawatan Perdana Menteri disandang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, UMNO begitu bersemangat untuk menggulingkan beliau dan kembali berkuasa.

Sebabnya adalah jelas pada masa itu seperti hari ini. Ia hanya untuk membantu memastikan individu tertentu bebas daripada penjara.

Dan sekarang, tanpa segan silu, pemimpin PH yang bersumpah menentang UMNO sanggup berpaling tadah semata-mata mahu berkuasa semula.

Adakah taraf pemimpin PH begitu rendah sehingga sanggup melakukan apa sahaja dan menjual pengundi semata-mata untuk kembali ke Putrajaya?

Ini benar-benar menjengkelkan dan memalukan. Lagipun, sebenarnya PN jelas memenangi lebih banyak kerusi berbanding BN dan ini adalah pilihan pengundi.

BN yang telah ditolak ke tepi telah menggunakan pintu belakang. Mereka kini cuba merangkak kembali ke koridor kuasa.

Mengapa memanggil pentadbiran sebelum ini sebagai kerajaan pintu belakang, sedangkan UMNO melakukan itu sekarang? Dan PH menyambut mereka dengan tangan terbuka, melupakan segala yang pernah dikatakan dan dilakukan antara mereka.

Kami pengundi lebih suka pemimpin telah diuji dan terbukti berjaya mentadbir, berbanding mereka yang sanggup tidur dengan musuh yang sedang menghadapi pelbagai pertuduhan di mahkamah.-UTUSAN

SULAIMAN YUSOFF
Taman Rasah Jaya, Seremban

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya