fbpx

Kaji guna teknologi realiti lanjutan di sekolah

TEKNOLOGI realiti lanjutan ini tidak sama seperti penggunaan teknologi digital sedia ada. – AFP

SAUDARA PENGARANG,

TERDAPAT tawaran dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini untuk menyediakan komputer riba kepada semua guru bagi meningkatkan kecekapan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP).

Usaha itu selaras dengan misi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) ke arah penggunaan teknologi digital dalam ekosistem sekolah termasuk memastikan sesi PdP dapat dilaksanakan secara lebih luas.

Sebenarnya penggunaan teknologi digital di sekolah bukan sekadar membekalkan komputer riba, sebaliknya banyak lagi peralatan lain bagi membolehkan teknologi realiti lanjutan (XR) diperkenalkan di sekolah.

XR melibatkan gabungan interaksi manusia-mesin yang mana tanggapan realiti yang diubah atau dibina dengan komputer. Dalam erti kata lain, istilah XR kebanyakannya merujuk pada video 360°, realiti maya dan realiti tambahan.

Ia melibatkan penggunaan peranti untuk menindih maklumat interaktif atau mempersembahkan maklumat maya dalam kapasiti tiga dimensi (3D).

Pereka bentuk XR boleh mengubah suai dengan meletakkan pelajar ke dalam persekitaran yang realiti untuk mempelajari dan mempraktikkan sesuatu konsep.

Teknologi XR ini tidak sama seperti penggunaan teknologi digital yang sedia ada, yang mana salah satu andaian memerlukan pelajar mempunyai komputer riba atau komputer meja untuk mengakses program tersebut.

Untuk menggunakan program XR, pelajar perlu menyediakan beberapa komponen seperti set kepala dan beberapa komponen lain. Antara cabaran lain pelajar perlu belajar untuk menggunakan pengawal tangan dan berasa selesa dengan set kepala untuk kali pertama.

Selain itu, persoalan yang perlu dikaji Kementerian Pendidikan bukanlah sama ada teknologi itu akan menjadi sebahagian daripada persekitaran pembelajaran atau tidak, tetapi sejauh mana keberkesanan penggunaannya bagi meningkatkan kemajuan pendidikan di Malaysia.-UTUSAN

DR. MAZIDAH MAT REJAB
Batu Pahat, Johor

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN