SAUDARA PENGARANG,
KAMI berharap kerajaan mengkaji semula kadar pencen diterima oleh pesara syarikat milik kerajaan (GLC) yang purata serendah RM300 sebulan. Banyak memorandum telah dihantar kepada kerajaan tetapi sehingga kini masih belum dapat perhatian.
Dalam Bajet 2012, pesara GLC mula mendapat kenaikan pencen dua peratus setiap tahun. Jumlah tersebut adalah terlalu kecil berbanding kenaikan pencen yang diterima pesara penuh kerajaan.
Saya sebagai pesara GLC menerima pencen seawal 2004 sebanyak RM280 sebulan. Setelah 16 tahun bersara, pencen bulanan yang diterima sekarang adalah RM370. Jumlah ini hanya cukup untuk membayar bil- il air, elektrik dan wifi.
Nelayan bukan pesara kerajaan tetapi dalam peruntukan kerajaan beberapa tahun kebelakangan ini melayakkan mereka mendapat elaun sara hidup lebih RM300 sebulan, lebih tinggi daripada bayaran pencen diterima pesara GLC.
Walaupun banyak pakej bantuan diperkenalkan untuk, rakyat namun tidak ada satu pun yang khusus atau memberi manfaat kepada pesara GLC.
Pesara penuh kerajaan (yang menerima pencen minimum) menikmati bayaran pencen sebanyak RM950 sebulan sejak 2016 lagi tetapi bagi pesara GLC, ada yang masih menerima pencen di bawah RM400 sebulan sejak lebih 15 tahun lalu.
Kami juga agak sukar untuk mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Walaupun pesara GLC mendapat rawatan percuma di klinik dan hospital kerajaan tetapi kami masih memerlukan bantuan untuk membeli cermin mata, membuat gigi palsu yang mana kosnya amat tinggi dan sangat membebankan. Ada dalam kalangan kami mengalami masalah kesihatan dan memerlukan wang untuk membeli ubat-ubatan sampingan seperti suplemen tambahan yang biasanya tidak didapati di klinik kerajaan.
Anak-anak tidak boleh dijadikan sandaran untuk membantu kerana mereka juga mempunyai komitmen sendiri lebihlebih lagi di saat kemelesetan ekonomi sekarang.
Baru-baru ini, kerajaan meluluskan kenaikan bayaran gaji minimum kepada RM1,500 sebulan. Pastinya harga barangan keperluan akan naik dan lebih memberi tekanan kepada kami.
Kebanyakan kami telah berusia lebih 65 tahun. Dengan kudrat dan tenaga yang semakin berkurangan, kami terpaksa pasrah mengharungi kehidupan seharian seadanya.
Pesara GLC masih mengharapkan perhatian sepatutnya daripada kerajaan kerana kadar pencen kami boleh dikategorikan di bawah paras kemiskinan.-UTUSAN
HASHIM B
Kuala Lumpur