Setiap undi siswa amat penting

Setiap undi siswa amat penting

ADVOKASI berterusan tentang pilihan raya mesti dilaksanakan dalam usaha mencambah pemikiran mahasiswa menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGUMUMAN pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lalu merupakan serahan mandat kepada rakyat untuk menentukan pihak yang berhak mentadbir negara untuk tempoh lima tahun akan datang. Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dilaksanakan pada 19 November ini sepertimana ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini juga menjadi sejarah kerana buat julung kali memberi laluan kepada anak muda berumur 18 hingga 21 tahun untuk mengundi. Seramai 1.1 juta orang iaitu 5.4 peratus ialah pemilih dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun.

Angka ini sangat besar dan menjadi peluang keemasan kepada mana-mana parti dalam mempengaruhi golongan pemilih yang boleh dikatakan masih atas pagar dan kurang arif dengan politik nasional.

Menjadi peranan kesatuan pelajar dan majlis perwakilan pelajar untuk memberikan pendidikan politik kepada golongan muda. Jika tidak, kita akan menyaksikan ramai anak muda gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Di peringkat universiti, pendidikan politik masih dianggap tabu biarpun Seksyen 15(2) (c) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) telah dimansuhkan bagi memastikan mahasiswa bebas berpolitik.

Dalam usaha mencambah pemikiran mahasiswa menjelang PRU15, sangat wajar untuk barisan pemimpin pelajar menganjurkan pendidikan politik secara neutral tanpa memihak kepada mana-mana parti.

Advokasi yang berterusan tentang pilihan raya mesti dilaksanakan. Mahasiswa harus didedahkan bahawa setiap undi adalah bermakna dalam menentukan untung malang lima tahun negara.-UTUSAN

IRFAN HAMZAH
Pegawai Perundangan Kesatuan Pelajar
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN