Seragam cukai korporat di negara-negara ASEAN - Utusan Malaysia

Seragam cukai korporat di negara-negara ASEAN

BAJET 2023 yang telah dibentangkan pada Jumaat lalu telah meneruskan tradisi belanjawan defisit. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BAJET 2023 telah dibentangkan dan seperti kebiasaan ia ialah bajet defisit iaitu kerajaan membelanjakan lebih banyak wang berbanding dengan pendapatan yang diperoleh. Anggaran perbelanjaan dalam Bajet 2023 ialah RM372.3 bilion berbanding anggaran pendapatan RM272.6 bilion.

Ia hampir sama seperti situasi Bajet 2022 dengan anggaran perbelanjaan RM332 bilion berbanding anggaran pendapatan RM234 bilion, menyebabkan kekurangan dana sebanyak RM98 bilion yang perlu ditampung dengan mengapungkan bon-bon baharu untuk mendapatkan jumlah wang itu.

Kaedah lain untuk meningkatkan pendapatan kerajaan adalah dengan menangani masalah perlumbaan dalam kalangan negara ASEAN untuk mengurangkan cukai korporat masing-masing.

Cukai korporat di Malaysia ialah 40 peratus daripada keuntungan syarikat pada 1980-an. Namun, kadar cukai korporat telah menurun kepada 24 peratus daripada keuntungan kerana Malaysia sedang bersaing dengan negara-negara jirannya di ASEAN untuk menarik pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing (FDI).

Kadar cukai korporat Thailand ialah 20 peratus daripada keuntungan syarikat sementara Singapura ialah pada kadar 17 peratus.

Jika Malaysia meningkatkan cukai korporatnya kepada 30 peratus secara sebelah pihak, adalah berkemungkinan bahawa pelaburan baharu akan berkurangan dan negara kita akan gagal dalam mewujudkan pekerjaan yang mencukupi untuk orang muda yang memasuki pasaran pekerjaan.

Runding

Oleh itu, penyelesaiannya adalah meningkatkan cukai korporat secara bersama-sama dengan negara-negara ASEAN yang lain.

Oleh itu, dicadangkan Malaysia mula berbincang dengan negara-negara ASEAN yang lain untuk menerima satu skim untuk meningkatkan kadar cukai korporat masing-masing secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun akan datang supaya mencapai kadar sebanyak 30 peratus daripada keuntungan syarikat.

Dalam erti kata lain, Thailand perlu meningkatkan kadar cukai sebanyak satu peratus setiap tahun, sementara Malaysia perlu meningkatkan kadar cukai korporatnya sebanyak 0.6 peratus setiap tahun.

Peningkatan dalam kutipan cukai ini bukan sahaja membolehkan negara-negara ASEAN untuk meningkatkan pendapatan dan memperkukuhkan perlindungan sosial bagi rakyat mereka, malah juga akan meningkatkan permintaan agregat, sekali gus menjana peluang baharu untuk perniagaan.

Permintaan agregat adalah jumlah semua permintaan dalam ekonomi termasuk perbelanjaan barangan dan perkhidmatan pengguna, pelaburan dan eksport bersih setelah ditolak import.

Ini merupakan keadaan menang-menang untuk semua negara, tetapi ia memerlukan sedikit masa untuk merundingkan pendekatan sebegini. – UTUSAN

DR. JEYAKUMAR DEVARAJ
Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya