Rakyat mahu diselesaikan tiga aspek besar

Rakyat mahu diselesaikan tiga aspek besar

BERI penjelasan secara terperinci tentang manifesto yang dijanjikan supaya pengundi faham dan mudah membuat pilihan. – GAMBAR HIASAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang disebut-sebut sebagai ‘ibu segala pilihan raya’ dinantikan dengan penuh debaran bagi menoktahkan segala kemelut dan krisis politik yang melanda negara sejak PRU14.

Siapa paling layak membentuk kerajaan sekali gus memulihkan kehidupan rakyat dan ekonomi negara pasca Covid-19? Secara umumnya, kita boleh rangkumkan keperluan rakyat dalam tiga aspek besar iaitu ekonomi, politik dan sosial.

Dari segi ekonomi, rakyat mahu kerajaan baharu nanti mampu menangani masalah asas seperti kenaikan kos sara hidup, peningkatan harga barangan keperluan harian, peluang pekerjaan lebih baik dan banyak lagi terutama kepada golongan siswazah di samping meningkatkan prestasi ekonomi negara secara keseluruhannya.

Isu-isu ini sangat dekat dengan hati rakyat kerana ia membabitkan soal survival kehidupan diri dan keluarga. Golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) dilihat cukup terkesan dengan masalah ekonomi seperti ini.

Dari segi politik, sudah semestinya rakyat mahu melihat melalui PRU15 ini dapat dibentuk sebuah kerajaan yang kuat dan stabil supaya segala agenda yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik.

Melalui kestabilan politik juga kita dapat memperkukuhkan tahap perpaduan rakyat dan menyatupadukan semua kelompok masyarakat di bawah satu bumbung.

Dalam soal ini kita perlu ambil iktibar dengan pelbagai kejadian yang berlaku di negara luar yang mencetuskan huru-hara dan perang saudara hanya kerana perbezaan ideologi politik dan kegagalan mewujudkan kestabilan dalam politik negara mereka.

Jadi kita sangat berharap agar PRU15 dapat merintis jalan ke arah pembentukan sebuah kerajaan yang kuat dan jitu yang mampu terus memacu kestabilan politik di negara kita.

Ini sekali gus akan meneruskan rentak kecemerlangan yang sedia ada bagi menuju impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi mengikut acuan kita sendiri. Dalam hal ini pengundi perlu memastikan ada parti yang mampu meraih sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang stabil.

Dari segi sosial, rakyat bimbang dengan pelbagai gejala sosial dan jenayah kolar putih. Antaranya masalah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, dadah, keruntuhan moral dan akhlak para belia serta pelbagai isu membabitkan warga asing.

Ini semua mula menjadi duri dalam daging sehingga mengganggu kehidupan harian rakyat. Jadi orang ramai mahu lihat sejauh mana kerajaan yang bakal diberi mandat ini akan menangani isu seperti ini dari terus mencetuskan pelbagai konflik dalam masyarakat.
Untuk itu sudah semestinya rakyat mahu melihat perancangan dan aku janji pelan pemulihan sosial dan tadbir urus yang akan ditampilkan oleh parti yang bertanding.

Dalam pada itu, saya juga ingin berpesan kepada semua parti yang bertanding gunakanlah tempoh berkempen yang diberikan untuk berkempen secara matang dan profesional.

Elak budaya fitnah, politik keji dan benci serta hentikan penyebaran pelbagai berita palsu.

Sebaliknya fokus kepada kumpulan sasaran dan memberi penjelasan secara terperinci tentang manifesto yang dijanjikan supaya pengundi faham dan mudah membuat pilihan pada hari pengundian kelak.-UTUSAN

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Penganalisis isu semasa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN