Rakyat amat berharap bas mini muncul kembali - Utusan Malaysia

Rakyat amat berharap bas mini muncul kembali

PERKHIDMATAN bas mini boleh diperkenalkan bagi mengatasi isu perbatuan akhir terutama di kawasan taman perumahan yang mempunyai jalan sempit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGANGKUTAN bas henti-henti merupakan antara mod pengangkutan awam utama di Lembah Klang khususnya di Kuala Lumpur sebelum adanya perkhidmatan monorel, transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT).

Sejumlah 241 laluan diperkenal oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada Disember 2015 di bawah program penyusunan rangkaian bas henti-henti (BNR). Namun, setelah tujuh tahun berlalu dapat dirasakan jumlah laluan bas semakin berkurangan daripada jumlah yang asal.

Beberapa syarikat bas sudah menamatkan operasi seperti Metrobus Nationwide Sdn. Bhd., Syarikat Bas Len Seng Sdn. Bhd. dan Setara Jaya Sdn. Bhd. Syarikat bas sedia ada juga mengambil langkah menggabung laluan tertentu yang dirasakan bertindih untuk menjimatkan kos operasi menyebabkan bilangan bas yang beroperasi semakin sedikit.

Bagi warga Datuk Keramat mungkin ada pilihan lain dengan menggunakan perkhidmatan LRT tetapi bagi penduduk di Rawang dan Selayang di Selangor yang terpaksa juga menaiki bas untuk ke tempat kerja pastinya berdepan kesukaran.

Sukar untuk menggalakkan orang ramai memilih menggunakan pengangkutan bas bagi urusan seharian sekiranya banyak masa dihabiskan di perhentian bas menunggu kenderaan itu yang tidak kunjung tiba.

Saya memohon agar APAD menimbangkan untuk menambah laluan baharu bas henti-henti di Lembah Klang.

Perkhidmatan bas mini boleh diperkenalkan bagi mengatasi isu perbatuan akhir terutama di kawasan taman perumahan yang mempunyai jalan yang sempit dan sukar dilalui bas bersaiz standard.

Akhir sekali, sistem transit aliran bas (BRT) juga boleh dipertimbangkan sebagai alternatif kepada sistem LRT dan MRT bagi menghubungkan kawasan pinggir kota dengan pusat bandar raya dengan pantas tanpa perlu berkongsi jalan dengan kenderaan lain. – UTUSAN

M. FAISAL
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya