SAUDARA PENGARANG,
PERKEMBANGAN teknologi era Revolusi Industri (IR) 4.0 telah mengubah bentuk tradisi judi kepada lebih moden sehingga berjaya mengelirukan ramai umat Islam yang cetek pemahaman tentangnya.
Kekeliruan timbul apabila judi memakai pelbagai ‘topeng’ dan menukar bentuk seperti permainan, jual beli dan cabutan bertuah. Pusat-pusat judi sering diserbu dan disita kerana beroperasi secara haram. Adakah ini bermakna terdapat judi yang halal?
Oleh itu, tidak hairan jika aktiviti perjudian masih berkembang maju seiring kecanggihan teknologi dan tampil lebih ‘bergaya’ serta ‘mempesona’ dengan nama dan wajah terkini. Teknologi ini memudahkan kaki judi menggunakan aplikasi dalam talian seperti GDBet333 di TikTok sebagaimana yang tular, baru-baru ini.
Bagaimanapun, masih terdapat masyarakat Islam yang terlibat secara langsung dengan permainan judi ini sedar dan berhenti apabila pihak berkuasa agama dan golongan agamawan menguar-uarkan kegiatan haram ini.
Ironinya, masih ada golongan yang cuba menghalalkan cara dan amalan judi demi kepentingan perniagaan dan kelangsungan politik maupun kehidupan. Pilihan di tangan kita, berhenti atau sengaja mencari padah? Tepuk dada tanya iman.
Al-Quran menyebut judi sebagai al-maysir. Ia terkandung dalam dua surah iaitu al-Baqarah dan al-Maidah melalui tiga ayat yang berbeza. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa kedua-duanya lebih besar berbanding manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu (wahai Muhammad), apakah yang mereka akan belanjakan, katakanlah: yang boleh daripada keperluan kamu; demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir. (Surah al-Baqarah: 219)
Ayuh kita perangi judi dalam semua bentuk dan medium dengan menyebar luas ‘identiti judi’ kepada generasi baharu agar mereka tidak terus menerus mewarisi budaya yang memudaratkan semua pihak termasuk individu, keluarga, masyarakat dan negara.-UTUSAN
DR. AIZAN ALI @ MAT ZIN
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya