Pensijilan halal melangkaui kewajipan agama

Pensijilan halal melangkaui kewajipan agama

PENGAMBILAN dan penggunaan air yang selamat dan bersih adalah penting untuk tujuan keagamaan atau untuk kesihatan dan kesejahteraan kita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENSIJILAN halal merupakan satu keperluan penting demi meyakinkan pengguna Islam bahawa makanan dan minuman yang diambil memenuhi kehendak hukum syarak. Namun, perkara yang orang ramai tidak sedar sebenarnya ialah pensijilan ini bukan sahaja melangkaui ketiadaan alkohol dan daging khinzir dalam penggunaan harian, ia juga meliputi aspek lain yang berpegang pada hukum Islam seperti kebersihan dan keselamatan. Keperluan ini turut dikenakan pada produk dan sektor kosmetik, logistik dan pelancongan.

Untuk perihal keperluan dan kehidupan harian, air adalah bahan penting untuk menjalankan aktiviti dalam pelbagai sektor industri. Dalam perspektif Islam, air bersih merupakan elemen penting dalam penyucian badan manusia. Ketika ini, pengambilan dan penggunaan air yang disifatkan secara halal adalah satu aspek penting bagi umat Islam dalam kehidupan seharian dan untuk tujuan berwuduk.

Air pada semula jadinya dianggap halal, namun sepanjang pengeluaran air minuman dan proses rawatan air untuk kegunaan komersial lain, sifatnya mungkin berubah kerana bersentuhan dengan bahan asing. Ini menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat Islam tentang status air yang digunakan. Ini termasuk pembuatan produk menggunakan air untuk dihasilkan dan kemudahan awam yang memerlukan air untuk berfungsi.

Penggunaan air yang mematuhi piawaian halal semakin mendapat perhatian kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat Islam tetapi juga rakyat yang mementingkan penggunaan air berkualiti.

Kini, pengiktirafan pensijilan halal bukan sekadar konsep keagamaan malah menarik minat bukan Islam untuk mempertimbangkan jenama dan produk yang diiktiraf halal kerana terbukti menjadi pilihan berkualiti tinggi, selamat dan sihat.

Bagi industri pembuatan dan penulenan air, proses pembuatan dan penghasilan produk perlu diperakui oleh institusi masing-masing dan mengikut garis panduan yang ketat untuk diiktiraf sebagai halal.

Dengan mendapat pengiktirafan ini, produk dan perkhidmatan dijamin berkualiti dan bebas daripada sebarang sumber meragukan dan ini dapat meningkatkan tahap keyakinan pengguna walaupun dalam kalangan bukan Islam.-UTUSAN

 

KOO ZAO CHEONG

Pengurus Pembangunan Perniagaan
Serantau Waterco Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN