KANGAR: Banjir besar yang melanda Perlis baru-baru ini telah menenggelamkan seluas 14,785.56 hektar sawah di negeri ini dengan anggaran kerugian mencecah sebanyak RM41 juta.
Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Hafizuddin Othman berkata, bencana itu memberi kesan kepada seramai 9,286 pesawah.
Katanya, air mula naik pada 23 Novomber lalu dan mula surut lima hari kemudian.
“Bagi kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), masih terdapat sebahagian kawasan sawah masih ditenggelami air sehingga kelmarin.
“Kali terakhir kawasan tanaman padi di negeri ini ditenggelami akibat banjir besar adalah pada tahun 2010,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Hafizuddin berkata, selain padi, antara tanaman lain yang terjejas ekoran banjir adalah seperti sayur-sayuran dan tanaman ladang yang melibatkan 35 orang petani dengan anggaran kerugian RM194,200 di kawasan seluas 18.90 hektar.
Katanya, tanaman industri asas tani pula membabitkan nilai kerugian RM104,000.
“Bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh pesawah dan petani, kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Jabatan Pertanian, MADA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menyediakan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP), Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) dan Tabung Bencana Pertanian (TBP).
“Pesawah dan petani boleh membuat permohonan di pejabat pertanian daerah serta pertubuhan peladang kawasan berkaitan. Jabatan Pertanian juga telah menggerakkan pegawai APT (Agen Pengembangan Tanaman) di lapangan bagi memantau, menilai dan membantu para petani terkesan daripada segi laporan tuntutan bencana,” katanya.
Katanya, tuntutan bagi TBTP dan STTP adalah mengikut umur tanaman padi di mana pengiraan nilai kerosakan telah ditetapkan seperti dalam garis panduan tabung bencana.
“Tuntutan bagi TBP adalah mengikut kategori tanaman dengan had maksimum bantuan sebanyak 6.5 hektar/pemohon dan had bantuan maksimum 10,000 polibeg/pemohon bagi pengusaha tanaman fertigasi. Untuk padi tiga hektar/pemohon bagi TBTP.
“Selain itu, bantuan turut diberikan kepada pengusaha agro pelancongan dan juga pengusaha IMAT (Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani) dan pemasar agromakanan. Penilaian kerugian akan dinilai oleh jawatankuasa penilaian teknikal yang dilantik oleh jabatan.
“Bantuan adalah tidak melebihi 50 peratus daripada penilaian kerugian oleh jawatankuasa teknikal jabatan. Semua pengiraan bantuan tabung bencana adalah mengikut pengiraan yang telah ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan tabung bencana dengan bantuan diberikan adalah secara ‘one off’ kepada petani terlibat,” katanya. – UTUSAN










