Pastikan Bajet 2023 lulus sebelum Parlimen bubar - Utusan Malaysia

Pastikan Bajet 2023 lulus sebelum Parlimen bubar

SEPERTI pada tahun lalu, Tengku Zafrul Abdul Aziz akan membentang Bajet 2023 esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN diingatkan agar tidak terlalu cepat membubarkan Parlimen sehingga menyebabkan Bajet 2023 yang akan dibentang esok menjadi tergantung.

Bajet yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu rakyat, perniagaan, ekonomi dan institusi kerajaan.

Seperti kebiasaannya, bajet wajib dibahas serta mendapat kelulusan dua pertiga ahli Dewan Rakyat serta diluluskan oleh Dewan Negara. Perlu dipastikan semua proses ini dijalankan tanpa wujud soal pembentangan semula sekiranya berlaku perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.

Sebarang desakan oleh mana-mana parti politik supaya PRU15 diadakan dalam tahun ini perlu terlebih dahulu menjadikan soal kelulusan Bajet 2023 sebagai keutamaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertanggungjawab sepenuhnya dalam menguruskan hal ehwal pentadbiran dan ekonomi negara serta kebajikan rakyat malah tidak sepatutnya tunduk kepada kehendak sesebuah parti politik agar disegerakan tarikh pembubaran Parlimen.

Kata putus secara konsensus untuk pembubaran Parlimen bukannya atas kehendak sesebuah parti politik sebaliknya sebagai amalan wajib dipersetujui oleh parti komponen serta persetujuan daripada Kabinet.

Maka itulah, Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini, adalah terpakai secara ‘mutlak’.

Bubar

Adakah wajar bagi Perdana Menteri menghadap YDPA bagi tujuan pembubaran Dewan Rakyat selagi tidak mendapat persetujuan Kabinet selain hanya desakan daripada parti politik sahaja?

Oleh yang demikian, rakyat amat berharap agar sebarang desakan politik sedemikian terhadap Perdana Menteri tidak akan mendatangkan kemudaratan melampau sehingga ke tahap soal Bajet 2023 dijadikan sebagai bahan uji kaji tanpa noktah.

Justeru, diharapkan esok pihak kerajaan tidak membentangkan bajet ‘tergantung’ dengan harapan belanjawan berkenaan bakal diluluskan selepas PRU15 kelak.

Rakyat memerlukan suatu bajet yang cukup prihatin dan diluluskan yang kemudiannya jika ditakdirkan berlaku sebarang pertukaran kerajaan selepas PRU15, maka pelaksanaannya tidak boleh dipertikaikan.

Kita tidak berkemampuan mengambil alih kerja Tuhan dalam menentukan kedudukan kuasa politik selepas berakhirnya PRU15 kelak.

Pada waktu yang sama, Perdana Menteri wajar memberikan komitmen positif bahawa tiada pembubaran Parlimen sehingga Bajet 2023 diluluskan secara rasmi.

Oleh itu, penduduk negara ini sedang memerhatikan apakah keutamaan sebenar bakal diputuskan oleh Perdana Menteri di antara kepentingan rakyat ataupun parti yang diwakilinya? – UTUSAN

RAHMAD ISAHAK
Aktivis politik

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya