SAUDARA PENGARANG,
SEBAIK Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu, rakyat menghela nafas lega kerana akhirnya hak mereka dikembalikan semula walaupun penggal mandat masih berbaki enam bulan lagi.
Pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pula tidak dapat dilakukan serentak di seluruh negara memandangkan terdapat negeri-negeri yang tidak mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
Sesuatu yang menarik, PRU pada kali ini dijangkakan berbeza memandangkan parti yang menjadi tentangan parti-parti politik Melayu adalah dari Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan bersifat liberal. Walhal parti tersebut kini tampil lebih dinamik, progresif dengan moto baharu.
Istimewanya lagi, kita semua akan melihat ‘pencak silat’ Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di gelanggang politik sebenar.
PH yang mentadbir negara selama 22 bulan sejak menang PRU14 sebenarnya telah ‘dirosakkan’ oleh wakil rakyat dan menteri yang kini berada bersama-sama dalam komponen Perikatan Nasional (PN) seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan serpihan pemimpin PKR. Malah PRU kali ini juga merupakan pentas ujian untuk melihat pengaruh dua pemimpin iaitu Anwar dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dr. Mahathir yang terkenal dengan politik licik dan tidak pernah berganjak, kali ini didakwa menjalin kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). Itupun masih gagal dikesan oleh PH. Bahkan didakwa PH sebenarnya adalah satu gerakan yang sengaja diumpan oleh Dr. Mahathir untuk memecah-belahkan saf gabungan parti politik berkenaan terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Penyokong PKR mula resah dengan perkembangan ini dan menganggap Anwar mungkin sekali lagi akan diperangkap oleh Dr. Mahathir yang sengaja mengumpan MUDA dalam PH.
Para pemerhati dan penganalisis politik menjangkakan penyertaan parti-parti politik yang bertanding pada PRU kali ini memberi kelebihan kepada PH seandainya peratusan keluar mengundi mencecah 77 peratus selain dibantu faktor perpecahan undi.
Justeru, kita harus menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat dalam PRU15. Namun, paling penting adalah pemimpin yang bakal dipilih nanti dapat melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan tidak mengulangi sejarah lama seperti ‘Langkah Sheraton.’-UTUSAN
CUCU TOK JANGGUT
Pulau Pinang