Mahasiswa perlu tunjuk kuasa ketika mengundi

Mahasiswa perlu tunjuk kuasa ketika mengundi

KELUARLAH mengundi dan pangkah mereka yang kita rasa dapat menguruskan negara dengan baik. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENGIKUT laporan statistik bagi tahun 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, jumlah penuntut yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara dianggarkan hampir 1.6 juta orang. Ini adalah satu jumlah yang agak besar.

Sebahagian besar daripada mahasiswa dan mahasiswi ini sudah pasti berumur di bawah 21 tahun. Maka pada Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini mereka akan melalui pengalaman pertama sebagai pengundi.

Pelajar yang baru menghabiskan sesi persekolahan dan terus menjejakkan kaki ke IPT ini sedang mengalami satu proses peralihan untuk ke dunia pekerjaan dan kedewasaan.

Maka dengan itu, untuk mengambil tahu apa yang terjadi di dalam dunia politik negara adalah salah satu proses yang mereka perlu lalui.

Lebih-lebih lagi dengan kelayakan mereka untuk melibatkan diri dalam PRU15 setelah diluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi.

Maka dengan itu, wahai mahasiswa dan mahasiswi yang sedang menuntut di IPT di seluruh negara. Beri juga perhatian tentang apa yang berlaku di dunia luar kampus.

Kita perlu ambil tahu keadaan politik negara. Buat sedikit kajian tentang apa yang kita harapkan untuk masa depan negara yang akan kita warisi ini nanti.

Apabila tiba masanya, bacalah manifesto yang disediakan oleh parti-parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihan raya, kaji dan fahami.

Kemudian keluar mengundi dan undilah mereka yang kita rasa dapat menguruskan negara dengan baik. Tunjukkan kuasa yang ada pada mahasiswa dan mahasiswi dalam menentukan hala tuju negara.-UTUSAN

NURYN AZMAN
Exco Biro Mahasiswa Pejuanita Muda,
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN