Ketampakan bahasa Melayu di mata dunia - Utusan Malaysia

Ketampakan bahasa Melayu di mata dunia

UTUSAN Malaysia 27 September 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA merujuk kepada artikel bertajuk Dirgahayu bahasa Melayu yang bermaksud panjang umur bahasa kebangsaan yang diterbitkan oleh akhbar ini pada 27 September lalu.

Benar, ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam bahasa Melayu semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 pada 24 September lalu adalah detik bersejarah buat negara kita.

Bukan itu sahaja, perkara ini boleh dikatakan sebagai kemuncak kepada komitmen kerajaan khususnya Ismail Sabri untuk terus memartabatkan dan menambah ketampakan bahasa Melayu di arena antarabangsa.

Sebenarnya jika kita telusuri perkara ini dengan lebih mendalam, perjuangan Ismail Sabri untuk memartabatkan bahasa Melayu bermula sejak awal beliau memegang tampuk pemerintahan.

Pada November 2021, misalnya, beliau menyelar pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dilihat lebih ghairah menggunakan bahasa asing dalam agenda mereka.

Beliau juga menyeru agar persidangan, mesyuarat dan urusan rasmi melibatkan pihak-pihak ini perlulah dilakukan dalam bahasa Melayu sama ada di peringkat nasional mahupun global.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri mencadangkan pindaan kepada Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran bahasa Melayu di peringkat daerah, negeri atau Persekutuan.

Pengumuman lain beliau ialah Kementerian Pengajian Tinggi bersetuju pelajar asing diwajibkan mempelajari bahasa Melayu apabila mendaftar di universiti tempatan.

Dalam tempoh singkat, jelas kelihatan betapa seriusnya Perdana Menteri dalam memperkasakan penggunaan bahasa Melayu.

Namun, masih terdapat segelintir yang pesimis dan prejudis tentang keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan perantaraan seperti yang dapat dilihat menerusi reaksi negatif di media sosial terhadap ucapan Perdana Menteri di UNGA, baru-baru ini.

Kenyataannya, bilamana bahasa Melayu digunakan dengan lebih meluas menerusi langkah-langkah di atas serta ucapan-ucapan di platform antarabangsa, ketampakan bahasa kebangsaan di peringkat global akan turut bertambah.

Ia akan menjadi sebuah wadah untuk mempromosikan bahasa Melayu secara tidak langsung dan menunjukkan bahasa kebangsaan kita boleh digunakan di luar Malaysia termasuk dalam urusan-urusan rasmi. – UTUSAN

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya