Industri pelancongan kita boleh terjejas kali kedua - Utusan Malaysia

Industri pelancongan kita boleh terjejas kali kedua

FAEDAH kadar ringgit yang lemah kepada negara ini hanya akan dapat dinikmati jika pelancong dari luar negara datang melawat dan berbelanja di Malaysia.– GAMBAR HIASAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KETIKA pandangan ini ditulis, nilai ringgit terus lemah dan mencecah RM4.601 bagi setiap satu dolar Amerika Syarikat (USD). Ia melebihi paras psikologi pada 26 September lalu sebanyak RM4.885 bagi satu USD iaitu kadar terendah sewaktu Krisis Kewangan Asia pada 1998.

Ramalan-ramalan awal menunjukkan ringgit akan terus lemah kerana kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) dijangka akan terus dinaikkan. Kelemahan ringgit ini mengingatkan kita berita dukacita sebelum ini.

Satu ketika dahulu, ringgit dikatakan tidak mahu diterima atau dipegang oleh peniaga-peniaga kerana nilainya yang tidak menentu. Ini mempengaruhi perdagangan antarabangsa.

Kelemahan nilai ringgit ini disabitkan dengan kenaikan kadar faedah secara agresif di Amerika Syarikat (AS). Jika kita perhatikan pasaran tukaran asing, kelemahan ringgit bukan kes terpencil kerana mata wang negara lain juga turut susut berbanding dengan USD.

Mungkin juga ini satu ujian kepada kita sama ada mahu menetapkan nilai ringgit dengan USD dan melaksanakan langkah-langkah kawalan modal atau menambat semula ringgit seperti yang kita pernah lakukan.

Nilai ringgit terus lemah ini mungkin memberi kesempatan kepada peniaga-peniaga mata wang mengaut keuntungan berjuta-juta. Kata orang, lagi lemah ringgit, lagi banyak untung yang mereka dapat. Kita hanya membuat telahan mengenai perkara ini.

Yang kita tahu nilai ringgit lemah akan memberi kesan positif kepada mereka yang menerima pendapatan dalam USD. Pendapatan mereka akan meningkat bila ditukar dalam ringgit.

Tetapi keadaan sebaliknya akan berlaku kepada pesara-pesara yang menerima pendapatan tetap di Malaysia. Dengan kadar pertukaran yang baharu ini, mereka mungkin jatuh ke tahap kumpulan berpendapatan rendah (B40).

Import

Kesan negatif akan dirasai oleh pengimport kerana mereka terpaksa membayar bil import yang tinggi kerana inflasi import. Barangan input perantaraan merangkumi 55 peratus daripada jumlah import Malaysia. Bebanan ini akan bertambah jika kita mengambil kira import barangan modal.

Dalam pada itu, pada Julai lepas, Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat sebanyak 4.4 peratus berbanding Julai tahun lepas. Dengan nilai ringgit terus lemah, mungkin indeks ini akan naik dengan lebih banyak lagi pada masa depan.

Naiknya kadar inflasi pada masa depan akan menambahkan lagi bebanan kepada golongan yang berpendapatan tetap dan rendah (B40) yang kini terpaksa menanggung beban harga barangan makanan yang tinggi.

Kelemahan ringgit berbanding USD juga akan memberi kesan negatif kepada sektor pelancongan kerana kos perjalanan antarabangsa yang meningkat.

Walaupun harga barangan dalam ringgit di Malaysia murah, faedah kadar ringgit yang lemah kepada negara ini hanya akan dapat dinikmati jika pelancong-pelancong dari luar negara datang melawat dan berbelanja di Malaysia.

Tetapi ini mungkin tidak berlaku kerana kos pengangkutan seperti tambang penerbangan dalam USD ke Malaysia meningkat. Jika ketibaan pelancong jatuh, ia akan melambatkan pemulihan sektor pelancongan yang sebelum ini terkesan oleh pandemik Covid-19.

Kelemahan ringgit dan mata wang lain di rantau Asia ini berbanding USD boleh dilihat dari sudut positif kerana ia mampu dijadikan inisiatif untuk meningkatkan lagi perdagangan di antara negara-negara rantau ini.

Boleh menggunakan mata wang tempatan masing-masing, sekali gus mengurangkan permintaan kepada USD. – UTUSAN

NASARUDDIN ARSHAD
Bekas pensyarah ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya