SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin mengulas penulisan Ahli Majlis Eksekutif Pusat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Azman Mohd Hashim bertajuk Ada gelombang kebangkitan orang Melayu yang diterbitkan pada 16 Ogos 2022 dalam ruangan Forum Utusan Malaysia.
Menurut Azman, kini orang Melayu bangkit sekali lagi melalui Gerakan Tanah Air (GTA), di mana melalui gerakan ini mereka dapat menyuarakan dengan lebih lantang lagi pandangan untuk kebaikan rakyat dan negara.
Mereka turut berpeluang terlibat secara langsung untuk melaksanakan pelbagai polisi yang dapat memperbaiki segala kelemahan demi rakyat dan negara.
Mungkin sejarah akan berulang apabila pemimpin-pemimpin Melayu yang bergerak aktif di bawah persatuan-persatuan, beramai-ramai bangun menggerakkan satu gelombang.
Gelombang yang sememangnya mewakili suara rakyat dan orang Melayu yang sebenar. Bangun menentang korupsi dan kebatilan yang telah merugikan orang Melayu.
Bagi saya, penubuhan GTA adalah hanya gimik politik sahaja. Sudah berpuluh pertubuhan dan parti orang Melayu diwujudkan sejak sebelum merdeka hingga kini yang kononnya bermatlamatkan untuk memperjuangkan hak-hak orang Melayu.
Apabila berlaku perpecahan di dalam parti maka tertubuhlah parti baharu yang kononnya untuk mempertahankan hak orang Melayu tetapi perpecahan semakin besar dan bersifat kekal.
Saya berpendapat hanya dengan mengubah sistem atau dasar parti sahaja yang boleh menjadikan orang-orang Melayu terutama pemimpin parti dan yang memimpin negara bersatu dengan hanya menghadkan seseorang pemimpin parti memegang kuasa atau hirarki untuk memberi peluang kepada generasi baharu memegang jawatan dalam Kabinet dan eksekutif syarikat kerajaan.
Saya yakin apabila penggal ini dihadkan tidak akan ada penyalahgunaan penyelewengan kuasa sekali gus pentadbiran parti dan kerajaan akan dapat dilaksanakan dengan baik.-UTUSAN
DZANMUO
Bakri, Muar