Salin dan tampal bukan jalan pintas

Salin dan tampal bukan jalan pintas

AMAT merugikan jika pelajar melakukan salin dan tampal kerana mencari jalan pintas bagi menyiapkan tugasan diberikan pendidik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENCEDOK karya atau hasil kerja orang lain bagi tujuan peribadi, tak kisahlah bagi tujuan yang baik atau tidak adalah tetap tidak beretika dan sudah wujud sejak sekian lama. Aktiviti ini merentasi pelbagai aspek kerjaya, bukan terhad kepada bidang akademik semata-mata.

Cumanya saya dapati persepsi menebal yang mengatakan mahasiswa universiti adalah golongan paling ramai terlibat dalam tindakan yang menyalahi undang-undang ini ekoran mereka merupakan pengguna paling aktif.

Saya tidak menidakkan perkara ini. Jika dilihat kepada jumlah tugasan terutama dalam bentuk penulisan kertas kerja. Jika satu subjek sekurang-kurangnya memerlukan dua tugasan untuk disiapkan, bayangkan dengan lima subjek pada setiap semester, mereka perlu menyiapkan sebanyak 10 penulisan esei. Dan cabaran yang lebih getir ialah apabila perlu menyiapkannya dalam bahasa Inggeris.

Lambakan bahan bacaan di internet juga menyumbang kepada permasalahan ini. Kita tidak boleh menidakkan keberadaan bahan bacaan atau penulisan yang begitu mudah disalin di internet juga merupakan faktor kepada meningkatnya fenomena salin dan tampal.

Malah jika ditanya kepada pencipta world wide web, Tim Berners-Lee, beliau pastinya tidak menjangka plagiat ini berleluasa kerana internet ciptaannya bukan direka untuk tujuan sedemikian.

Secara peribadi, lebih merisaukan saya apabila seorang mahasiswa tidak menyedari tindakan mereka ini menyalahi undang-undang dek kerana sudah terbiasa. Lebih buruk apabila merasakan ‘usaha’ mengambil hak orang lain juga adalah haknya dan tidak perlu rasa bersalah.

Saya katakan ini adalah lebih buruk, kerana perasaan sebegini sangat mirip kepada penerima dan pemberi rasuah yang tidak rasa bersalah terhadap perbuatan mereka. Kebimbangan saya ialah bahayanya budaya ini yang seolah-olah berupaya menghasilkan generasi yang bersikap ‘tidak apa’ terhadap rasuah.-UTUSAN

PROF. MADYA DR. NAHRIZUL ADIB KADRI
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN