Ringgit boleh mengukuh jika serius basmi rasuah - Utusan Malaysia

Ringgit boleh mengukuh jika serius basmi rasuah

PELABURAN asing yang banyak akan meningkatkan rizab antarabangsa Malaysia. – GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PRESTASI nilai ringgit dalam pasaran tukaran mata wang asing agak bercampur. Dari awal tahun ini, nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan dolar Singapura menyusut masing-masing sebanyak sembilan peratus dan hampir lima peratus.

Kesan ketara daripada kejatuhan ringgit ialah inflasi yang tinggi. Penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS ini mengingatkan kita pada krisis kewangan Asia 1997 yang menyebabkan Malaysia menyusun semula sektor perbankan dengan mewujudkan kumpulan-kumpulan bank besar dan lebih berdaya saing.

Penurunan nilai ringgit ketika ini adalah tidak wajar memandangkan asas-asas ekonomi Malaysia yang tetap utuh. Kadar pertumbuhan ekonomi tahun ini mungkin lebih daripada dijangkakan jika momentum prestasi ekonomi untuk suku kedua 2022 dapat dipertahankan.

Sementara itu, dasar ekonomi kerajaan tetap konsisten dan tidak bercanggah antara satu dengan lain. Mengikut Bank Negara Malaysia (BNM), sektor perbankan juga terus stabil dengan nisbah hutang lapuknya rendah dan terkawal.

Walaupun mungkin defisit Bajet 2022 melebihi enam peratus, kerajaan tetap komited untuk memperbaiki ruang fiskal dan berkeupayaan membiayainya. Tahap diberikan oleh agensi-agensi penarafan juga utuh.

Hutang luar negara Malaysia adalah rendah. Nilai ringgit berbanding yen Jepun dan pound British dalam tempoh sama tahun ini tetap kukuh. Nilai ringgit juga kukuh berbanding beberapa mata wang asing lain termasuk euro.

Kenaikan nilai dolar AS berbanding ringgit disebabkan beberapa faktor. Pertama, kebanyakan barangan dan perkhidmatan diperdagangkan dalam dolar AS.

Perdagangan antarabangsa hampir pulih sepenuhnya selepas pandemik Covid-19, sekali gus permintaan kepada dolar AS meningkat.

Kedua, Rizab Persekutuan (Fed) AS telah mengetatkan polisi monetarinya dengan meningkatkan kadar faedah secara agresif. Ini akan memberikan insentif kepada pelabur untuk memegang aset dalam dolar AS.

Pelabur

Memegang aset dalam dolar AS boleh memberi dua manfaat. Pertama, dalam bentuk keuntungan modal kerana kenaikan nilai mata wang. Kedua, dalam bentuk pulangan yang tinggi kepada tabungan kerana kadar faedah tinggi.

Pada kebiasaannya, bank-bank pusat di negara-negara membangun terpaksa menyemak semula kadar faedah mereka untuk memastikan perbezaan dengan kadar ditetapkan Fed AS tidak begitu lebar.

Mungkin dolar AS akan bertukar arah menjadi lemah jika kadar faedah yang tinggi di AS gagal menyekat inflasi tinggi dan ekonomi negara itu pula memasuki era kemelesetan. Mungkin, Fed AS terpaksa membuat pusingan U dengan melonggarkan polisi monetari bagi menurunkan kadar faedah.

Dalam jangka masa panjang, nilai ringgit boleh dipertingkatkan semula berbanding mata wang asing termasuk dolar AS dan dolar Singapura.

Ini dapat dicapai dengan cara kerajaan meningkatkan keyakinan pelabur kepada ekonomi Malaysia termasuk memastikan kadar pertumbuhan ekonomi kita terus tinggi berbanding negara-negara lain di dunia.

Perlu juga dipertingkatkan tahap kebolehan Malaysia bersaing di peringkat perdagangan antarabangsa. Inflasi harus dikawal dan dinaikkan tabungan dalam negara.

Pelaburan asing yang banyak akan meningkatkan rizab antarabangsa Malaysia, sekali gus menambahkan permintaan untuk ringgit dan menaikkan nilainya.

Elakkan pengaliran keluar modal yang banyak yang mungkin disebabkan oleh persepsi negatif yang ada mengenai kualiti tadbir urus di Malaysia.

Persepsi negatif seperti digambarkan oleh kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan Transparency International (TI) mesti dihapuskan. – UTUSAN

NASARUDDIN ARSHAD
Bekas pensyarah ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya