SAUDARA PENGARANG,
PANDANGAN ikhlas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa berkemungkinan berlaku situasi ‘Parlimen tergantung’ akibat tidak cukup majoriti bagi mana-mana parti politik menubuhkan kerajaan selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) wajar diberi perhatian serius .
Tidak salah bagi kepimpinan parti politik bermimpi di siang hari seandainya mereka mampu menang malah menubuhkan kerajaan pusat secara solo namun hakikatnya dari sudut realiti mimpi berkenaan dilihat tidak mungkin menjadi kenyataan jika kuasa mahupun mandat rakyat tidak menyebelahi mereka .
Jika elemen seperti itu berlaku khususnya kepada parti-parti Melayu maka, dilema kaum majoriti negara ini akan seperti situasi tongkat dagu gigit kuku ataupun menang sorak kampung tergadai pasti berulang sebagai sejarah kesinambungan dari pentadbiran hitam selama 22 bulan sebelum ini.
Angkara siapa dan salah siapa jika keadaan sama berulang sehingga menyebabkan Parlimen tergantung? Ataupun bagi mengelak daripada insiden berkenaan berlaku adakah kita akan melukut ditepi gantang dalam meraih simpati pihak yang mempunyai kerusi yang banyak secara istilah jajaran baharu bagi tujuan menubuhkan kerajaan Persekutuan?
Rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa tidak seharusnya dijadikan kambing hitam atas dasar sandiwara politik pihak tertentu selepas PRU15 nanti, sebaliknya kestabilan politik, ekonomi serta kebajikan rakyat mesti diterjemahkan secara kukuh dan berkesan sepanjang tempoh penggal PRU15 kelak.
Ingatan ikhlas serta rasional dipanjangkan kepada semua pemimpin politik di negara ini agar tidak menjadikan soal ego sebagai keutamaan sehingga memaksa Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen tanpa alasan yang munasabah melainkan atas dasar peribadi yang semakin terhimpit akibat takut pada bayang-bayang sendiri .
Jangan tersalah membuat perhitungan politik ketika masih wujud keraguan rakyat terhadap beberapa isu membabitkan rasuah serta salah guna kuasa yang semakin membimbangkan. Jangan sampai apa yang dikejar tidak kesampaian malah yang sedia digendong bercicirar.
Kita penuh yakin bahawa Perdana Menteri tidak memerlukan malah mengendahkan desakan mana-mana pihak untuk diadakan PRU15 sebaliknya beliau sudah bersedia membubarkan Parlimen sesudah menunaikkan tanggungjawab dalam memastikan soal pemulihan ekonomi dan kebajikan rakyat terbela sewajarnya.-UTUSAN
RAHMAD ISAHAK
Aktivis politik