Perkasakan penyampaian, tingkatkan integriti

Perkasakan penyampaian, tingkatkan integriti

ISMAIL Sabri Yaakob (depan, dua dari kiri) bersama para penjawat awam mengibarkan Jalur Gemilang dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 MAPPA XVIII di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SELEPAS beberapa tahun tertangguh akibat pandemik Covid-19, Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) kembali disambut pada tahun ini dengan tema Penjawat Awam Tonggak Aspirasi Keluarga Malaysia. Semasa merasmikan himpunan tersebut, pelbagai harapan diluahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada 1.6 juta penjawat awam untuk memastikan sistem penyampaian kerajaan berjalan dengan cekap dan berkesan.

Selain harapan besar yang diluahkan, Ismail Sabri turut mengumumkan beberapa inisiatif seperti komitmen kerajaan untuk mengkaji semula sistem saraan sedia ada; menambah jumlah maksimum gantian cuti rehat (GCR) sehingga 180 hari; menambah cuti rehat khas (CRK) guru yang berkhidmat lebih 10 tahun sehingga 15 hari; meluaskan definisi keluarga bagi cuti tanpa rekod (CTR) kepada adik beradik, datuk dan nenek; memberi tiga peratus kenaikan gaji tahunan (KGT) kepada pegawai yang telah mencapai tangga gaji maksimum, tambahan KGT sebanyak RM100 bagi 2023 serta bayaran khas kewangan RM700.

Inisiatif diumumkan ini membuktikan kerajaan sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam khususnya komitmen ketika mengharungi fasa pandemik tempoh hari sehingga Malaysia berjaya beralih ke fasa endemik.

Sebagai tanda berterima kasih, penjawat awam sewajarnya menghargai inisiatif tersebut dengan meningkatkan lagi proses penyampaian untuk memastikan semua dasar kerajaan dilaksanakan dengan berkesan.
Justeru, penjawat awam perlu mempertingkatkan integriti dan tadbir urus sepanjang melaksanakan tanggungjawab. Mereka perlu dilihat bersih daripada sebarang unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa selain tidak mudah berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan termasuk rasuah walau sekecil mana sekalipun.

Akibat rasuah, perolehan negara yang sepatutnya sampai kepada kumpulan sasar dan hasil dinikmati rakyat mengalami kebocoran dan jatuh kepada pihak yang tidak sepatutnya. Akibatnya, sistem penyampaian kerajaan akan terganggu sekali gus memberi kesan negatif terhadap ekonomi dan sosial rakyat. Disebabkan rasuah, rakyat tidak dapat menikmati produk terbaik yang disampaikan kerajaan kerana sebahagiannya telah tercicir ke kantung tidak selayaknya.

Penjawat awam perlu berpegang teguh kepada sumpah untuk melindungi kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan tertinggi tanpa perlu akur kepada sesiapa sahaja yang ingin mencabuli kepentingan tersebut.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHD. YUSRI IBRAHIM
Pensyarah Program Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi & Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN