Pekerja terkesan jika pendapatan tidak naik - Utusan Malaysia

Pekerja terkesan jika pendapatan tidak naik

KENAIKAN OPR akan meningkatkan kos pengeluaran syarikat yang membuat pinjaman bank untuk membiayai operasi mereka. – GAMBAR HIASAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke paras 2.5 peratus, tertinggi setakat ini. Ini kali ketiga OPR dinaikkan tahun ini.

OPR ialah kadar penanda aras pinjaman dan tabungan dalam sistem perbankan negara. Ada pendapat mengatakan penyemakan semula atau kenaikan OPR akan terus berlaku pada masa depan bergantung kepada data-data ekonomi terbaharu.

Ada beberapa rasional yang diberikan untuk menaikkan OPR. Selain in­flasi yang tinggi, prestasi ekonomi juga kukuh dan tidak memerlukan bantuan besar. Indeks Harga Pengguna (IHP) naik sebanyak empat peratus (tahun atas tahun) pada Julai lalu.

Tekanan inflasi tinggi disebabkan peningkatan harga komoditi dan harga barang-barang asas yang tinggi, pasaran pekerja yang ketat serta rantaian bekalan global yang belum pulih dengan sempurna.

Dalam membanteras inflasi, kerajaan bukan sahaja menggunakan dasar monetari tetapi langkah-langkah seperti pengawalan harga dan subsidi bahan api. Langkah-langkah melawan inflasi juga dibantu oleh lebihan kapasiti dalam ekonomi.

Juga, kenaikan OPR dapat menyumbang kepada kenaikan nilai ringgit dalam pasaran tukaran asing. BNM berpendapat, kenaikan OPR adalah selaras dengan kenaikan kadar faedah di peringkat global dan ia tidak mengubah pendirian dasar monetari yang masih lagi akomodatif iaitu menyokong pemulihan pertumbuhan ekonomi.

Ada pihak yang menyambut baik kenaikan OPR ini. Bank-bank tentu gembira kerana kenaikan OPR meningkatkan margin kerana mereka cepat menyemak semula kadar faedah atas pinjaman mereka.

Lambat

Selalunya, kadar faedah yang dibayar kepada penabung (yang dianggap sebagai kos kepada sistem perbankan) lambat disemak semula. Mengikut laporan media, kebanyakan bank menyemak semula kadar faedah pinjaman mereka mulai 12 September lalu.

Ini melibatkan pemindahan sumber-sumber daripada penabung kepada bank dan menjadi isu jika kebanyakan penabung berpendapatan rendah.

Selain faktor masa, margin juga naik kerana kenaikan OPR dipindahkan sepenuhnya kepada kadar faedah pinjaman (bermakna kadar faedah semua pinjaman meningkat sebanyak 25 mata asas) berbanding kadar faedah tabungan.

Kenaikan OPR dikaitkan dengan alasan untuk membanteras inflasi. Selalunya in­flasi akan turun jika kenaikan kadar faedah dapat menurunkan jumlah permintaan pengguna.

Ini tidak akan berlaku dalam jangka masa pendek. Pada kebiasaannya, kenaikan kadar faedah hanya memberi kesan dalam jangka masa lapan hingga sembilan bulan akan datang.

Oleh kerana itu pengguna terpaksa menunggu kesan daripada kenaikan kadar faedah ini. Sementara menunggu kadar inflasi menurun, mereka terpaksa membayar balik pinjaman mereka mengikut kadar faedah baharu. – UTUSAN

NASARUDDIN ARSHAD, Bekas pensyarah ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya