Pasukan pemulihan boleh bantu pulih daripada penyakit - Utusan Malaysia

Pasukan pemulihan boleh bantu pulih daripada penyakit

BERJALAN kaki adalah aktiviti senaman untuk menguatkan sistem pernafasan selepas dijangkiti deman selesema atau Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

VIRUS demam selesema dan peningkatan jumlah kes Covid-19 mencetuskan kebimbangan kesihatan awam yang utama. Namun, melegakan apabila kadar kematian di Malaysia lebih rendah berbanding negara lain disebabkan kebolehcapaian yang tinggi terhadap suntikan vaksin seperti yang diberitahu Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Selepas sembuh, pesakit Covid-19 dan demam selesema mungkin akan mengalami gejala yang berlarutan seperti keresahan, keletihan dan masalah pernafasan selama beberapa minggu, bulan atau tahun.

Oleh itu, penting bagi setiap pesakit untuk mengambil langkah berjaga-jaga semasa proses pemulihan jangka panjang mereka dengan mendapatkan bantuan daripada pengamal penjagaan kesihatan sebelum terlambat.

Justeru, aktiviti senaman seperti berjalan kaki dapat membantu menguatkan sistem pernafasan. Tetapkan matlamat realistik jangka masa pendek dan mula berjalan dengan perlahan di rumah selama 10 hingga 15 minit.

Jika berasa selesa tanpa sebarang sesak nafas, anda boleh meningkatkannya secara beransur-ansur dengan tambahan selama lima minit. Berjalan meningkatkan peredaran darah dan menguatkan tisu di sekeliling paru-paru sekali gus membantu ia berfungsi.

Selain itu, anda boleh menguap sambil tersenyum. Senaman ini membantu meningkatkan koordinasi dan membina kekuatan pada otot lengan dan bahu. Ia juga akan membantu membuka otot di dada untuk membolehkan diafragma mengembang sepenuhnya.

Anda juga boleh berdengung. Aktiviti ini membantu meningkatkan pengeluaran nitrik oksida. Ia mengembangkan saluran darah serta menarik lebih banyak oksigen ke dalam paru-paru dengan setiap nafas.

Berdengung juga boleh mengurangkan tekanan kerana ia dapat menenangkan fikiran apabila seseorang itu menghadapi pelbagai cabaran dalam hidup mereka.

Simptom setiap pesakit mungkin berbeza-beza, jadi adalah penting untuk mendapatkan nasihat daripada doktor tentang gejala penyakit yang anda alami.

Penilaian haruslah dibuat oleh pengamal perubatan seperti pakar perubatan pemulihan, pakar fisioterapi, ahli terapi carakerja, pakar nutrisi mahupun pakar psikologi klinikal.

Penilaian komprehensif dan rawatan pemulihan bertujuan supaya pesakit boleh mendapatkan semula kekuatan, daya tahan dan fungsi kognitif yang terjejas selepas dijangkiti Covid-19 dan demam selesema.

Pesakit perlu mendapatkan khidmat pasukan pemulihan pelbagai disiplin dan komprehensif untuk membantu dalam proses pulih daripada penyakit agar mencapai tahap kesihatan yang optimum. – UTUSAN

PUSAT PERUBATAN SUNWAY, Petaling Jaya, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya