Pas hadapi dilema bermain lebih dua kolam

Pas hadapi dilema bermain lebih dua kolam

PAS sedang menghadapi dua dilema besar antara mengharapkan kesatuan parti politik Melayu atau menagih ihsan pengundi bukan Melayu. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SLOGAN Penyatuan Ummah yang dicanang selama ini sebenarnya hendak ditujukan kepada siapa dan apakah agenda yang ingin dibawa? Ini kerana Pas yang berada dalam kerajaan hampir separuh penggal tetapi masih tiada apa-apa lagi keistimewaan atau sesuatu dilakukan bagi menyakinkan seluruh rakyat.

Difahamkan, ketika Muktamar Pas baru-baru ini, terdapat gesaan terhadap Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) meminta mereka agar lebih agresif bagi menarik seramai mungkin pengundi bukan Melayu untuk menyokong parti itu.

Bukankah Pas yakin bahawa pengundi Melayu sudah cukup untuk memenangkan mereka? Jadi, mengapa pula hendak mengahrapkan sokongan pengundi bukan Melayu?

Gambaran di atas jelas dan bukti kukuh yang menunjukkan para pemimpin Pas akhirnya akur bahawa parti itu sukar memenangi kerusi tanpa sokongan pengundi bukan Melayu, apatah lagi untuk memerintah secara bersendirian.

Pas bukan sekadar tidak melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU 355 ketika menjadi sebahagian daripada tulang belakang kerajaan tetapi gagal mendamaikan UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Apakah ini yang dikatakan penyatuan ummah dalam konteks sirah nubuwah?

Maka, yang mana satukah sebetulnya Pas mahukan? Kini, UMNO dikatakan sudah tawar hati dan tidak mahu kembali bersama lagi tetapi para pemimpin Pas pula dilihat terhegeh-hegeh hendakkan kerjasama serta sokongan UMNO dan pada masa sama mahukan Bersatu. Realitinya, UMNO tetap enggan bersama Bersatu.

Kesimpulannya, Pas sedang menghadapi dua dilema besar setelah bermain lebih daripada dua kolam dan kini berada di dua alam berbeza iaitu antara mengharapkan kesatuan parti politik Melayu atau menagih ihsan pengundi bukan Melayu.

Persoalan lain, beruntungkah cara politik Pas sekarang ini dan bagaimanakah pula nasibnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti?-UTUSAN

TOK WALI SONGE
Bayan Mutiara, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya