Mustahil negara capai sifar rasuah - Utusan Malaysia

Mustahil negara capai sifar rasuah

KOMITMEN Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mencegah rasuah dizahirkan dengan agenda pemerkasaan Cawangan Integriti. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEGAGALAN mengekang rasuah boleh menyebabkan keruntuhan sesebuah kerajaan. Paling terkini, rasuah menjadi salah satu faktor kebankrapan Sri Lanka. Pada 30 Jun lalu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menasihatkan kerajaan Sri Lanka untuk menangani rasuah dan menaikkan cukai bagi menyelamatkan ekonomi negara itu.

Kejayaan pencegahan rasuah dalam pentadbiran kerajaan tidak bermaksud menghapuskan rasuah secara keseluruhan. Perkara tersebut adalah amat mustahil. Pencegahan rasuah bertujuan mengekang amalan keji itu ke tahap paling minimum. Oleh itu, tindakan penguatkuasaan dan punitif adalah amat penting.

Bagaimanapun, langkah awal pencegahan dan pendidikan adalah lebih penting bagi mengelak amalan rasuah daripada berlaku. Penubuhan Unit Integriti (UI) di setiap agensi kerajaan adalah langkah proaktif bagi menangani isu rasuah, salah laku dan kelemahan tadbir urus.

Usaha ini amat signifikan kerana strategi pencegahan rasuah paling berkesan adalah melalui pembudayaan integriti dalam kalangan pegawai serta kakitangan agensi itu sendiri. UI bertindak sebagai titik fokus di agensi awam dalam pengurusan integriti, pencegahan rasuah dan menggalakkan tadbir urus baik.

Arahan kerajaan berkaitan penubuhan UI di semua agensi awam dikuatkuasakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013 yang dikeluarkan pada 1 Ogos 2013. Sehingga kini, sebanyak 331 agensi awam telah menubuhkan UI, manakala 502 agensi melantik Pegawai Perhubungan Integriti bagi melaksanakan fungsi UI.

UI agensi awam melaksanakan fungsinya berdasarkan enam terma rujukan iaitu tadbir urus, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan, pengurusan aduan, pematuhan serta keurusetiaan tatatertib.

Risiko Tinggi

Selain bertanggungjawab kepada ketua agensi masing-masing, semua UI dikawal selia dan diselaraskan oleh Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Struktur UI ditentukan berdasarkan kajian penarafan risiko rasuah yang dilaksanakan oleh SPRM dari semasa ke semasa. Agensi diberi penarafan sama ada risiko tinggi, risiko sederhana atau risiko rendah. Terbaharu, 168 agensi awam ditarafkan sebagai risiko tinggi, 673 sebagai risiko sederhana dan 100 ditarafkan sebagai risiko rendah.

SPRM turut menempatkan pegawai-pegawainya di agensi awam terutama yang ditarafkan sebagai risiko tinggi dan sederhana. Secara keseluruhannya, 90 pegawai SPRM ditempatkan di 74 organisasi.

Satu contoh pelaksanaan UI adalah di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). SPRM menarafkan JKDM sebagai risiko tinggi sesuai dengan skop tugas sebagai agensi penguatkuasaan dan pemungut hasil negara.

Tambahan pula, JKDM mempunyai ramai warga kerja iaitu lebih kurang 14,000 orang di seluruh negara. UI JKDM dikenali sebagai Cawangan Integriti yang melapor terus kepada Ketua Pengarah Kastam.

Komitmen pengurusan tertinggi JKDM dizahirkan dengan agenda pemerkasaan Cawangan Integriti dari segi bilangan perjawatan dan bajet. Cawangan Integriti JKDM mempunyai 31 perjawatan dan diketuai pegawai kanan SPRM bergred P54.

Di setiap pejabat JKDM peringkat negeri dan zon mempunyai Pegawai Integriti Negeri yang tersendiri. Kesimpulannya, usaha menginstitusikan integriti, tadbir urus baik dan pencegahan rasuah bukan satu tugas mudah dan semestinya memerlukan masa serta hasilnya mungkin akan dirasai dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. – UTUSAN

MOHAMAD TARMIZE ABDUL MANAF, Ketua Cawangan Integriti, Jabatan Kastam Diraja Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya