Kenapa hantar satu nama calon sahaja? - Utusan Malaysia

Kenapa hantar satu nama calon sahaja?

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEPERTI yang kita tahu, gesaan supaya Parlimen dibubarkan segera dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam tahun ini adalah antara isu utama dibahaskan oleh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.

Daripada gesaan itu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO juga bersetuju dan menyokong keputusan PAU tersebut. Menjadi tradisi UMNO bahawa keputusan PAU adalah paling tertinggi dalam parti. Dengan kata lain, MKT mahupun lima pemimpin tertinggi UMNO perlu akur dan patuh serta harus melaksanakan keputusan PAU itu.

Jika gesaan PAU itu tidak dilaksanakan, apakah tindakan yang boleh diambil? Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempunyai hak untuk memecat mana-mana ahli yang tidak melaksanakan keputusan PAU termasuk dalam kalangan lima pemimpin tertinggi parti.

Sesungguhnya pendapat ini agak keras tetapi semua ahli UMNO harus menerima hakikat bahawa Presiden memang diberikan kuasa untuk berbuat demikian. Banyak alasan Presiden boleh beri termasuk orang yang dipecat itu tidak patuh kepada gesaan ketika PAU.

Apa pun, saya percaya Presiden akan menjaga keharmonian dalam parti termasuk merujuk dan mendapatkan pandangan akar umbi, juga lima pemimpin tertinggi selain MKT sendiri sebelum mengambil tindakan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid sebagai Presiden adalah orang yang akan menentukan calon selain mengeluarkan watikah pelantikan untuk bertanding dalam PRU15.

Jika ada yang bertanya, apa akan jadi jika PRU15 diadakan pada tahun hadapan, jawapannya tetap sama iaitu Ahmad Zahid sebagai Presiden ialah orang yang akan menandatangani watikah pelantikan calon PRU15.

Tapis

Sebab itu, Ahmad Zahid mengarahkan setiap bahagian dan perhubungan negeri menyerahkan nama-nama bakal calon untuk bertanding dalam PRU15 semasa mesyuarat MKT baru-baru ini. Kini semua nama tersebut sudah berada dalam tangan beliau setelah tarikh akhir berbuat demikian ditutup pada akhir Ogos lalu.

Dengan kata lain, Ahmad Zahid kini dalam proses menilai dan menapis nama-nama itu sebelum perbincangan lanjut diadakan dengan berpegang kepada prinsip bakal calon ialah mereka yang setia kepada parti dan dapat membawa kemenangan. Selain itu, perbincangan juga akan diadakan dengan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Dikhabarkan, bahagian-bahagian perlu menghantar lebih daripada satu nama calon untuk dinilai oleh Presiden. Namun yang menariknya, mengikut beberapa sumber, ada dua bahagian di dua negeri termasuk sebuah negeri di utara Semenanjung yang hanya menghantar satu nama.

Jika benar tindakan hanya menghantar satu nama sahaja untuk calon PRU15 dari bahagian ini berlaku, akan timbul persepsi yang pelbagai daripada akar umbi dalam parti. Bagi yang menyokong langkah ini, mereka mungkin beranggapan tiada calon lain yang layak. Juga nama calon berkenaan adalah pilihan terbaik.

Juga, tindakan sebegini boleh membawa persepsi bahawa ia tidak memberi ruang kepada orang lain untuk berkhidmat dan menjadi calon terutama golongan muda.

Satu sumber memberitahu, tindakan menghantar satu nama juga dilihat bahawa orang berkenaan memang dalam ‘senarai hitam’ untuk digugurkan kerana tindak-tanduknya yang berbeza pandangan dengan kepemimpinan parti.

Dengan berbuat demikian, menjadi harapan agar Presiden parti tidak dapat membuat pilihan alternatif selain memilih nama calon seorang itu sahaja. – UTUSAN

PEMERHATI POLITIK, Petaling Jaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya