Jangan ada dua darjat ketika hukum pesalah

Jangan ada dua darjat ketika hukum pesalah

INTEGRITI dan nilai-nilai murni harus disemai dalam kalangan generasi muda semasa mereka masih bersekolah agar menjadi pegangan bila dewasa kelak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENYELAK lembaran sejarah, Malaysia mula dijajah oleh Portugis hingga Inggeris yang mengambil masa 446 tahun lamanya. Tempoh yang panjang ini jika tidak dihayati akan tenggelam semula dalam penjajahan bentuk baharu. Hayatilah sejarah kemerdekaan negara dan hargai jasa yang mereka tinggalkan untuk membina semangat mempertahankan kedaulatan negara dan perasaan cintakan tanah air.

Kelangsungan kemakmuran negara terletak pada kesungguhan dan kecintaan kita berusaha membangun dan mensejahterakan.

Dalam usaha membangunkan negara yang merdeka, negara perlu bersih dan menolak perbuatan rasuah dan salah guna kuasa. Dua perkara ini antara sebab utama membantutkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan serta mendorong kepada berlakunya ketidakstabilan politik.

Malaysia dianugerahi dengan pelbagai sumber kekayaan tetapi kerana rasuah menyebabkan kekayaan negara disalah guna dan kadar kemiskinan terus meningkat.

Semua pemimpin dan rakyat mestilah memiliki sifat amanah, jujur dan takut melakukan dosa. Agama Islam menetapkan tanda aras yang tinggi untuk menghindarkan rasuah dengan menegaskan aspek integriti. Islam menegah keras perbuatan salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang berjawatan dan berkuasa.

Kini, perlakuan rasuah sudah ke tahap berskala besar yang turut disamakan sebagai penyakit barah tahap 4. Sudah seperti menjadi budaya, rasuah boleh memusnahkan sesebuah negara bangsa.

Memang tidak mudah untuk membersihkan negara daripada rasuah dan salah guna kuasa namun undang-undang dan hukuman yang berat serta tindakan yang berterusan perlu dilaksanakan. Jangan biar ada dua darjat berbeza kepada pelaku rasuah tanpa mengira kelas, pangkat dan jawatan.

Integriti dan nilai-nilai murni harus disemai dalam kalangan generasi muda semasa mereka masih bersekolah. Ia dapat membantu memupuk budaya kejujuran dan amanah agar menjadi pegangan hidup.
Harapan dan impian sebagai rakyat ialah untuk melihat Malaysia ditadbir dengan telus, amanah, bebas rasuah, aman, harmoni dan terus bergerak maju, cemerlang dan sejahtera.-UTUSAN

MOHD YAKOP IKRAM
Ipoh, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN