Integriti penjawat awam semakin baik - Utusan Malaysia

Integriti penjawat awam semakin baik

SEBANYAK 208 penjawat awam didapati terlibat dengan kegiatan rasuah dari Januari hingga Julai tahun ini. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa inisiatif baharu dan berita gembira buat penjawat awam. Antaranya tambahan khas RM100 dalam Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023 sebanyak RM700.

Perdana Menteri turut menasihatkan penjawat awam supaya meningkatkan produktiviti dan memastikan kelancaran penyampaian kemudahan kepada Keluarga Malaysia seluruhnya. Dengan pelbagai insentif yang diberikan, penjawat awam juga perlu berusaha untuk meningkatkan integriti dalam kalangan mereka.

Data tangkapan rasuah sepertimana disiarkan dalam portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi Januari hingga Julai tahun ini menunjukkan seramai 208 penjawat awam terlibat dengan kegiatan rasuah. Ia meliputi pengurusan tertinggi, pengurusan profesional dan kumpulan sokongan.

Kesalahan termasuk meminta/menerima rasuah, menawar/memberi rasuah, membuat tuntutan palsu dan menyalahgunakan jawatan/kedudukan.

Walaupun trend ini dilihat menurun dalam tempoh tahun lepas, iaitu 293 tangkapan tetapi ia umpama duri dalam daging kepada penjawat awam. Walaupun peratusannya kecil berbanding keseluruhan jumlah 1.6 juta penjawat awam tetapi ia akan merosakkan nama dan imej kakitangan kerajaan.

Kerjasama antara Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) dan SPRM untuk mengekang perbuatan tidak bermoral ini dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan adalah tindakan amat dialu-alukan.

Larang

Rasuah merupakan salah satu cabang korupsi yang merugikan rakyat dan negara. Dalam Islam, perbuatan ini dilarang keras dan tiada tolak ansur sepertimana hadis bermaksud: “Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang memberi sogokan dan orang yang menerima sogokan dalam soal hukum menghukum.” (Riwayat Abu Daud & at-Tirmizi)

Antara faktor penyumbang kepada gejala rasuah ini adalah sikap individu yang ingin hidup mewah, tamak, mahu cepat kaya dan lain-lain lagi yang ada hubung kait dengan sikap penjawat awam itu sendiri. Gejala rasuah memberi kesan besar kepada negara yang sekiranya tidak dibendung akan memberi kemudaratan kepada masyarakat, sistem ekonomi dan pentadbiran kerajaan.

Pun begitu, pembabitan penjawat awam dalam gejala rasuah menunjukkan trend penurunan iaitu sebanyak 525 tangkapan pada 2019, turun kepada 422 (2020) dan 411 (2021).

Adalah diharapkan trend ini akan terus berkurangan, malah mampu mencapai ke angka sifar. Meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman tegas kepada mereka yang terlibat dan menyuburkan kembali integriti dalam kalangan penjawat awam melalui kempen dan pembudayaan suasana kerja mampu menghindarkan mereka daripada terjebak dengan gejala tidak bermoral ini.

Ayuh, hindari perbuatan tidak bermoral ini dan kuatkan azam untuk terus berkhidmat dengan penuh integriti supaya keseluruhan jentera pentadbiran awam menjadi lebih efisien seterusnya meningkatkan imej kakitangan kerajaan. – UTUSAN

NADZIR AWANG AHMAD @ SAID, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya