Buka cawangan Akademi Binaan Malaysia di Kelantan - Utusan Malaysia

Buka cawangan Akademi Binaan Malaysia di Kelantan

SUDAH banyak kisah kejayaan lepasan Akademi Binaan Malaysia (ABM) yang mendapat gaji lebih tinggi daripada graduan universiti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KETIKA ini terdapat banyak projek infrastruktur berskala besar yang sedang dan akan menjalani pembinaan di Kelantan.

Sebagai contoh, projek Seksyen A Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Empangan Hidroelektrik Nenggiri, menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau.

Projek ini memerlukan ramai pekerja pembinaan terutama sekali yang mahir dan separa mahir untuk menjayakannya.

Sebagai contoh, projek pembinaan Empangan Nenggiri sahaja memerlukan sehingga 2,000 orang pekerja pembinaan. Projek ECRL pula menyasarkan kuota pekerja tempatan sebanyak 70 peratus daripada keseluruhan pekerja.

Buat masa ini, terdapat sebuah Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur yang terletak di Kuala Berang, Terengganu.

Saya mencadangkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mempertimbangkan untuk membuka sebuah lagi cawangan ABM baharu di Kelantan bagi melatih rakyat negeri itu terutama golongan belia yang kurang cemerlang dalam akademik untuk mahir bidang pembinaan.

Tanggapan tenaga kerja dalam sektor pembinaan hanya sesuai diisi oleh pekerja asing kerana melibatkan buruh kasar dan bergaji rendah perlu diubah kerana rakyat Malaysia boleh mengisi jawatan sedemikian.

Malah, ramai rakyat tempatan yang memiliki kemahiran dan sijil sebagai pemandu jentera pembinaan seperti operator kren, pengendali jentera pengorek, juruelektrik, jurukimpal dan pemasang komponen binaan industri (IBS).

Sudah banyak kisah kejayaan lepasan ABM yang mendapat gaji lebih tinggi daripada graduan universiti serta mampu menubuhkan syarikat sendiri.

Semoga pembukaan cawangan baharu di Kelantan bukan sahaja mampu mewujudkan tenaga kerja mahir dalam pembinaan malah dapat melahirkan lebih ramai kontraktor dan usahawan muda dalam bidang pembinaan. – UTUSAN

BEKAS BURUH, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya