Bimbang mata wang RM ‘lari’ ke luar negara - Utusan Malaysia

Bimbang mata wang RM ‘lari’ ke luar negara

KEHADIRAN ramai pelancong Malaysia di Hatyai, Thailand adalah perkara lumrah. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, terdapat laporan berita tentang ribuan pelancong Malaysia membanjiri kawasan pelancongan di Thailand terutama Hatyai ketika cuti sekolah dan cuti umum.

Kecenderungan rakyat Malaysia untuk bercuti di luar negara dikhuatiri akan menyebabkan peningkatan pengaliran keluar mata wang Ringgit Malaysia (RM) jika usaha timbal balik bagi menarik kemasukan pelancong dari Thailand gagal dilaksanakan.

Turut terkesan, Pulau Langkawi dilaporkan mengalami penurunan pelancong domestik yang mendadak. Hal ini menyebabkan pendapatan pihak yang terlibat dalam industri pelancongan tempatan terjejas.

Persoalannya, mengapa perkara ini berlaku? Tinjauan saya dalam media sosial mendapati ramai berpendapat percutian domestik terlalu mahal terutama bagi mereka yang mempunyai keluarga besar.

Kos penginapan, pengangkutan dan aktiviti tertentu di Pulau Langkawi contohnya agak tinggi. Lebih memeningkan, pada musim cuti sekolah atau cuti umum, banyak pihak menaikkan harga dengan mendadak.

Sebaliknya pakej pelancongan, bukan sahaja di Thailand, malah Indonesia juga menawarkan kadar harga sesuai dengan kemampuan kebanyakan pelancong Malaysia.

Oleh itu, semua pemain industri pelancongan tempatan perlu bekerjasama untuk menawarkan pakej percutian yang dianggap sebagai berbaloi dengan wang dibelanjakan.

Tindakan menaikkan harga berlipat ganda ketika musim cuti hanya mempamerkan sikap rakus mahu mengaut keuntungan. Seterusnya, jika promosi berjaya menarik perhatian pelancong tempatan, kemudahan yang disediakan juga perlu dapat menampung pertambahan bilangan pengunjung.

Percutian adalah satu cara menenangkan minda dan meluangkan masa dengan ahli keluarga. Oleh itu, rakyat Malaysia pasti memilih produk pelancongan domestik jika ia tidak membebankan poket mereka. – UTUSAN

ZARLINA MOHD. ZAMARI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.