Belum masanya bank-bank di negara ini bergabung - Utusan Malaysia

Belum masanya bank-bank di negara ini bergabung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEBELAKANGAN ini tercetus kembali perbualan mengenai penggabungan bank-bank tempatan. Pada pandangan saya, berjaya atau tidak langkah itu bergantung kepada beberapa faktor termasuk harga dan keupayaan tawar-menawar atau rundingan dalam sebarang penggabungan.

Ia juga bergantung kepada keupayaan menyediakan modal yang besar untuk membeli bank baharu atau untuk menguruskan entiti baharu selepas penggabungan.

Selepas krisis kewangan Asia 1997, pada 2000 kita melalui satu proses memperkukuhkan sektor perbankan melalui pewujudan kumpulan perbankan besar yang berkeupayaan dari segi pengurusan dan mencari sumber modal baharu. Proses penggabungan ini dipandu dan dipantau oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Sewaktu kita di ambang krisis kewangan Asia itu, Malaysia mempunyai lebih daripada 50 institusi perbankan yang berselerak dan pelbagai saiz dengan keupayaan berbeza. Institusi perbankan kecil tidak mempunyai jaringan cawangan besar untuk mendapatkan jumlah simpanan.

Akibatnya mereka tidak mampu bersaing dengan institusi perbankan besar dan terpaksa bergantung kepada pasaran antara bank.

Ketika itu, prestasi bank juga dikatakan di bawah paras yang memuaskan. Demi memulihkan ekonomi dengan cepat, BNM telah memilih untuk menyatukan dan memperkukuhkan institusi perbankan tempatan sedia ada.

Pada waktu itu, penggabungan bank-bank dipercepatkan kerana kepercayaan bahawa untuk pulih daripada krisis itu, kita memerlukan bank-bank yang kukuh dari segi kewangan bagi membantu.

Digital

Pada masa sekarang, penggabungan institusi perbankan mungkin disebabkan oleh faktor berbeza seperti persaingan daripada bank digital. BNM akan mengubah landskap perbankan di negara ini dengan mengeluarkan lima lesen bagi memulakan bank digital.

Pada pendapat saya, pusingan baharu penggabungan bank pada waktu sekarang adalah tidak tepat dengan masanya kerana ia akan melibatkan pembuangan pekerja berikutan pertindihan fungsi.

Ia juga akan menyebabkan bank-bank menutup sebahagian cawangan mereka kerana faktor kos. Ini akan mengurangkan perkhidmatan bank di kawasan-kawasan yang terlibat dengan penutupan cawangan terbabit.

Sebarang penggabungan akan mewujudkan beberapa kumpulan perbankan besar yang mempunyai keupayaan menambah bahagian pasarannya. Sekali gus, ini akan menambahkan risiko sistemik (kesan pasaran yang luas) kepada ekonomi sesuatu negara jika berlaku krisis ekonomi.

Walaupun penggabungan ini akan memperkukuhkan institusi perbankan, ia tidak sunyi daripada rungutan pelanggan kerana menyalahgunakan kedudukan dan tidak bersedia bersaing.

Sebarang penggabungan turut akan mempengaruhi kualiti perkhidmatan perbankan kerana fokus mereka beralih kepada persiapan.

Ini mungkin tidak sesuai dengan keadaan semasa ketika kita memberi tumpuan kepada proses pemulihan ekonomi negara dan rakyat masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan buruk pandemik Covid-19. – UTUSAN

NASARUDDIN ARSHAD, Bekas pensyarah ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya