Terkesan dengan inisiatif generasi penamat

Terkesan dengan inisiatif generasi penamat

vape
Negara berisiko kehilangan pendapatan RM3.48 bilion cukai runcit industri vape jika Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok turut menyenaraikan vape bahaya seperti rokok. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PANDEMIK Covid-19 telah menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang kehilangan kerja. Saya adalah antara mereka yang terkesan.

Sebagai seorang penolong jurutera di sebuah syarikat pembinaan, majikan terpaksa memberhentikan saya kerana industri pembinaan tidak mampu beroperasi sepenuhnya ketika awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Saya menggunakan duit pampasan yang diterima dan keseluruhan simpanan kecemasan saya sebagai modal untuk berniaga rokok elektronik (vape).

Saya bersyukur kerana dengan perniagaan ini, saya mampu memberi makan untuk saya, isteri dan anak-anak. Ketika PKP juga, banyak bantuan yang diberikan kerajaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat yang amat membantu saya dan keluarga untuk hidup dengan sederhana.

Namun, setelah keadaan beransur pulih dan kerajaan bertukar tangan lagi, kita dihimpit pula dengan kenaikan harga barang yang mendadak. Saya faham inflasi adalah masalah global kerana perang di Ukraine, tetapi kelihatan ungkapan jihad tangani inflasi sekadar retorik.

Perniagaan saya turut terjejas kerana rakyat berpendapatan rendah dan sederhana yang merupakan pelanggan utama saya, terpaksa mengikat perut dan mengurangkan perbelanjaan harian mereka.

Perniagaan saya amat lembap dan kadangkala saya terpaksa meminjam wang dari saudara-mara dan rakan-rakan untuk memastikan bayaran komitmen bulanan mencukupi.

Bagaimanapun, akhir-akhir ini saya merasa amat tertekan. Katanya, kerajaan telah memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 sebagai satu permulaan untuk mewujudkan generasi baharu yang lahir selepas 2007 yang bebas daripada tabiat merokok dan inisiatif ini dinamakan generasi penamat.

Ini bermakna pendapatan saya akan terus terjejas dan besar kemungkinan saya akan menanggung kerugian daripada pelaburan saya untuk meniaga vape.

Kompaun yang bakal dikenakan juga jika meniaga vape kepada golongan dilarang itu kelak mencecah puluhan ribu ringgit. Ini tidak masuk akal.

Saya faham kerajaan serius dalam hal untuk melawan gejala merokok dan vape. Namun, saya amat terkilan. Haramkan sahaja rokok untuk generasi tersebut. Rokok dibiayai syarikat syarikat global yang besar. Mereka tidak terkesan jika rokok diharamkan.

Tapi jangan mengharamkan vape yang merupakan mata pencarian ramai usahawan bumiputera. Nak harapkan kontrak kerajaan, orang seperti saya ini tidak berkawan dengan mereka yang berkuasa. Saya hanya pengusaha vape kecil-kecilan yang cuba mencari rezeki untuk menyara kehidupan keluarga.

Katanya, kerajaan mengambil inspirasi daripada New Zealand dalam hal ini. Tetapi di negara itu, hanya rokok yang diharamkan untuk generasi yang lahir pada tahun 2009 ke atas, vape tidak diharamkan.

Kenapa vape disamakan dengan rokok? Ini tidak masuk akal. Rokok itu amat berbahaya. Ada kajian yang membuktikan vape lebih selamat. Vape bukan rokok. Rokok bukan vape.

Lagipun, kerajaan pernah membuat Kempen Tak Nak Merokok, jadi rakyat faham bahaya rokok. Buatlah kempen kesedaran bahaya vape terlebih dahulu sebelum mengambil langkah drastik mengharamkan vape untuk generasi lahir tahun 2007 dan ke hadapan.

Ambil langkah bertahap. Timbulkan kesedaran didik anak-anak yang bakal berusia 18 tahun ini. Jika didikan itu baik, sudah pasti mereka akan dengan sendiri memilih untuk tidak merokok atau menggunakan vape. Tetapi jangan ambil kebebasan memilih itu daripada mereka.-UTUSAN

FIRDAUS ZULKIFLI
Gombak, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya