Stigma adalah ‘pembunuh’, bukan AIDS - Utusan Malaysia

Stigma adalah ‘pembunuh’, bukan AIDS

RAMAI penghidap AIDS kembali hidup normal dan ‘sihat’ setelah mendapatkan rawatan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TIGA dekad lalu, Malaysia masih tidak mempunyai liputan internet meluas. Akses kepada informasi cuma bergantung pada akhbar, televisyen dan radio.

Dari situ (hingga kini), kita masih dimomokkan dengan imej orang hidup dengan HIV (PLHIV) sebagai menunggu kematian, kurus, berkudis dan dalam kekotoran.

Walaupun sekarang kita berada di zaman informasi di skrin telefon bimbit, imej itu masih kekal terpahat di minda walaupun sebenarnya PLHIV bukan lagi hidup dengan imej sebegitu.

Virus kurang imun manusia (HIV) setakat 2019 telah menjangkiti 87,500 orang. Akibat stigma luaran dan dalaman, dianggarkan lebih 10,000 masih bersembunyi dan tidak mendapatkan rawatan.

Dengan kemajuan perubatan dan sains, rejimen rawatan seperti terapi antiretroviral yang sangat aktif (HAART) telah membantu PLHIV hidup seperti kita yang sihat.

Malah, jangka hayat mereka juga meningkat, sebaris dengan kita yang tidak terjejas dengan virus ini. Malahan, ramai PLHIV yang sudah pun mencecah tahap Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS) kembali hidup normal dan ‘sihat’ setelah mendapatkan rawatan.

Akibat sikap tidak ambil cakna, kita cenderung mempunyai tanggapan salah terhadap PLHIV. Diskriminasi terhadap golongan ini selalunya berkait rapat dengan dosa silam mereka menggunakan dadah atau mengamalkan hubungan seks rambang.

Malangnya, kita tidak sedar bahawa virus tersebut turut diwariskan ibu bapa kepada anak seawal bayi dalam kandungan.

Dalam sesetengah keadaan, ada yang menderita kerana dijangkiti daripada pasangan masing-masing. Jika stigma sebegini berterusan, misi Kementerian Kesihatan untuk menghapuskan AIDS menjelang 2030 akan gagal.

Akibat tidak mahu menjadi mangsa diskriminasi, ramai PLHIV tidak tampil mendapatkan rawatan yang sebenarnya diberi percuma di klinik dan hospital kerajaan sehingga berakhir dengan maut. – UTUSAN

FAIZUL MOHAMAD, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya