fbpx

Semangat patriotisme 21 tahun lalu masih dirasai

KERATAN akhbar Utusan Malaysia yang memperlihatkan kegembiraan para pelajar UPM selepas berjaya menghasilkan Jalur Gemilang gergasi pada 2001. – IHSAN PENULIS

SAUDARA PENGARANG,

SEMPENA kempen kibarkan Jalur Gemilang pada sambutan Bulan Kebangsaan, nilai sentimental saya kembali menggamit memori catatan rekod negara yang dicipta oleh mahasiswa Kolej Sepuluh (K10), Universiti Putra Malaysia (UPM), 21 tahun dahulu iaitu pada 2001.

Pada detik bersejarah 11 April 2001, saya selaku pengarah program Putra Kinabalu, berbekalkan semangat patriotik sahabat-sahabat seangkatan seramai 42 pelajar di K10, menyaksikan UPM berjaya menghasilkan Jalur Gemilang gergasi selepas menyiapkannya dalam tempoh tiga bulan.

Jalur Gemilang K10 akhirnya berjaya direntangkan di tiga lokasi iaitu puncak Gunung Kinabalu dan Stadium Kota Kinabalu di Sabah serta Stadium UPM di Serdang, Selangor sehingga dinobatkan oleh Malaysia Book of Records sebagai Jalur Gemilang terbesar pernah dicipta di negara ini.

Program Putra Kinabalu pada masa itu juga merekayasa aktiviti khidmat kemasyarakatan di Kota Kinabalu dan Ranau termasuk ekspedisi pelajar K10 mendaki Gunung Kinabalu bagi mengibarkan Jalur Gemilang.

Sehingga kini, bendera berukuran 117 meter panjang dan 77 meter lebar ciptaan pelajar K10 yang telah memecahkan rekod Jalur Gemilang terbesar dicipta sebelumnya oleh Kementerian Penerangan di bangunan Angkasapuri, masih belum lagi dipecahkan oleh sesiapa ataupun mana-mana pihak.

Selama 21 tahun rekod ini masih bertahan, bukan sahaja menjadi kebanggaan UPM malah refleksi kebanggaan institusi pengajian tinggi (IPT) negara.

Patriotisme

Semoga semangat 42 pelajar K10 21 tahun lalu dapat membangkitkan aura kita pada masa kini dalam menunjukkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan Keluarga Malaysia seperti dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tarikh keramat 31 Ogos ini iaitu ulang tahun Hari Kebangsaan ke-65 ini hanya sekali setahun. Saya menyeru semua pelajar, persatuan pelajar, kepimpinan pelajar di setiap IPT awam atau swasta untuk sama-sama memeriahkan kempen kibarkan Jalur Gemilang bagi menzahirkan semangat cintakan tanah air.

Sambutan Hari Kebangsaan sewajarnya lebih awal dapat dirasakan apabila semua pihak tidak menunggu saat akhir menghiasi Jalur Gemilang di setiap jalan, pejabat, premis perniagaan dan kediaman. Kanak-kanak dan pelajar ialah individu yang paling gembira apabila mereka berpeluang mengibarkan bendera.

Pepatah Melayu mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Andainya terdapat rakyat dewasa terasa kurang ghairah untuk memeriahkan, sekurang-kurangnya pupuklah semangat cintakan negara dan patriotisme terhadap anak-anak kita sendiri, kanak-kanak, remaja dan pelajar yang lebih bersemangat.

Ayuh kita bangkit gelorakan Bulan Kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang sebagai manifestasi solidariti rakyat yang bersatu padu merentasi perbezaan ras, etnik dan fahaman serta menentang segala ujian dan cabaran yang dihadapi negara. Merdeka! Merdeka! Merdeka! – UTUSAN

PROFESOR DR. ARIFIN ABDU, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Universiti Putra Malaysia (UPM)

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN