PUSPAKOM sambut baiksemak semula kaedahpemeriksaan kenderaan berat

PUSPAKOM sambut baik semak semula kaedah pemeriksaan kenderaan berat

KAEDAH pemeriksaan kenderaan berat yang melibatkan tahap keselamatan yang tinggi dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. -GAMBAR HIASANRAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PUSPAKOM Sdn. Bhd. (PUSPAKOM) menyambut baik cadangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyemak semula kaedah pemeriksaan kenderaan berat yang melibatkan tahap keselamatan yang tinggi seperti pemeriksaan kecekapan brek, keselamatan tayar dan komponen lain.

Kaedah pemeriksaan sedia ada pada masa ini dibuat sebagaimana ditetapkan di bawah Kaedah- kaedah Kenderaan Motor (Pemeriksaan Berkala, Kelengkapan dan Standard Pemeriksaan) 1995.

Di bawah cadangan ini, kaedah pemeriksaan kenderaan boleh diselaraskan oleh PUSPAKOM apabila diputuskan oleh JPJ kelak. Ianya tidak melibatkan perubahan kepada peralatan pemeriksaan sedia ada.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, PUSPAKOM menjalankan pemeriksaan secara berkala terhadap  270,385 buah kenderaan berat. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15.8 peratus atau 42,772 kenderaan berat gagal mematuhi piawaian pemeriksaan yang ditetapkan JPJ termasuk 4.6 peratus atau 12,339 kenderaan berat  gagal ujian kecekapan brek.

PUSPAKOM juga mengalu-alukan usaha JPJ untuk meningkatkan kekerapan pemantauan terhadap operasi pemeriksaan kenderaan yang dijalankan di semua 54 pusat  pemeriksaan PUSPAKOM di seluruh negara.

Sehingga kini, PUSPAKOM secara berterusan mencapai skor melebihi keperluan yang ditetapkan di bawah Perjanjian Konsesi.

Usaha-usaha penambahbaikan dilaksanakan secara berterusan terutamanya dari aspek-aspek seperti polisi dan prosedur kerja, penggunaan teknologi terkini berkaitan sistem dan proses serta memupuk budaya kerja berintegriti tinggi dalam kalangan kakitangan sebagaimana yang ditetapkan dalam Rangka Kerja Pematuhan Integriti PUSPAKOM (PICF). Ini adalah selaras dengan Pelan Anti Rasuah Nasional yang ditetapkan kerajaan dan pensijilan ISO: 37001 Sistem Pengurusan Anti Rasuah.

Usaha-usaha untuk menyemak semula tahap keselamatan kenderaan berat perlulah seiring dengan langkah pencegahan kemalangan jalan raya yang lain. Pemeriksaan kenderaan secara berkala yang dijalankan sebagai langkah pencegahan awal dalam mengurangkan jumlah kenderaan yang tidak selamat berada di atas jalan raya.

Memandangkan pemeriksaan yang dijalankan hanya pada setiap 6 bulan, adalah menjadi tanggungjawab pemilik dan pemandu kenderaan berat dalam tempoh tersebut untuk memastikan setiap kenderaan milik mereka adalah selamat sebelum memulakan sebarang perjalanan.-UTUSAN

PUSPAKOM

Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN