Lepasan SPM berpotensi jadi hamba

Lepasan SPM berpotensi jadi hamba

ADA lepasan SPM beranggapan belajar tinggi bukan jaminan mendapat pekerjaan yang baik. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas laporan Utusan Malaysia pada 31 Julai lalu mengenai kaji selidik Jabatan Pe­rangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pelajaran.

Tiga faktor utama tidak berminat menyambung pelajaran ialah banyak peluang pekerjaan menerusi platform gig, ingin menjadi pempengaruh media sosial dan beranggapan belajar tinggi bukan jaminan mendapat pekerjaan yang baik.

Bagi saya, usia 17 hingga 18 tahun boleh dikatakan peringkat remaja dan bekerja seusia demikian boleh kita ibaratkan sebagai perhambaan zaman moden kerana mereka sepatutnya masih lagi di alam pendidikan dan bukan berada di alam pekerjaan.

Di usia yang masih mentah, tiada pengalaman dalam kehidupan dan tidak berpendidikan tinggi maka mereka mudah dieksploitasi oleh majikan seperti bayaran upah yang rendah dan tidak setimpal ibarat seperti hamba.

Prospek kerjaya juga tidak menentu, boleh dibuang atau ditamatkan kerja serta banyak lagi soal kebajikan yang akan diabaikan majikan.

Sesetengah majikan di negara sedang membangun menggunakan tenaga kerja buruh dalam kalangan remaja bawah umur supaya mereka boleh dikerah bekerja tanpa rehat dan dibayar gaji yang sedikit.
Justeru, kita tidak mahu Malaysia dilabelkan sebagai negara yang membenarkan penghambaan dan buruh kanak-kanak.

Untuk menjadikan negara maju dan berpendapatan tinggi, salah satu syarat ialah sesebuah negara itu berjaya memberikan pendidikan kepada semua rakyatnya dari prasekolah hingga ke peringkat universiti.
Untuk ini, kerajaan perlu berbuat sesuatu agar semua lepasan SPM ini lebih berminat menyambung pelajaran daripada bekerja.

Di pihak ibu bapa pula, berilah semangat kepada anak-anak supaya terus belajar dan tidak jemu. Jangan galakkan mereka bekerja untuk membantu keluarga.Titipkan kata-kata nasihat kepada anak-anak bahawa ilmu itu penting seperti ungkapan belajarlah sehingga ke negeri China.

Seterusnya, bagaimanakah dasar dan pelan pembangunan pendidikan negara akan akan dapat mencapai matlamat dan bagaimanakah natijahnya kelak jikalau ramai anak remaja ini tidak berminat meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi?

Juga, kita akan berhadapan dengan kekurangan dan kekosongan jawatan untuk diisi jika ramai belia lebih berminat bekerja sendiri dan berlaku ketidakseimbangan sektor pekerjaan terutama di bidang sains dan teknologi.

Akhirnya, remaja diharapkan tidak perlu memikirkan kemewahan dan kesenangan mendapatkan wang sebaliknya fikirkanlah tentang masa depan dan kuasai ilmu yang mampu menjaga kita di masa depan.-UTUSAN

ABDUL HAMID
Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.