Jangan perlekeh, pandang remeh kerjaya pereka grafik - Utusan Malaysia

Jangan perlekeh, pandang remeh kerjaya pereka grafik

Bagi calon SPM yang gagal menyambung pengajian ke IPT dicadang menceburi bidang reka bentuk yang boleh menjana pendapatan lumayan. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DI Malaysia, pekerjaan dalam bidang seni kreatif kurang mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat.

Hal ini mungkin disebabkan stigma masyarakat bahawa pekerjaan dalam bidang tersebut tidak menjamin kehidupan yang sempurna terutama dari segi gaji. Oleh itu, tidak menghairankan jika tiada ibu bapa yang akan mencadangkan pekerjaan dalam bidang seni kreatif sebagai kerjaya pilihan untuk anak-anak mereka.

Tambah malang terdapat sesetengah ibu bapa yang tidak menyokong anak-anak mereka menunjukkan minat dalam seni kreatif kerana bidang ini dianggap tidak mempunyai masa depan cerah.

Sebenarnya bakat dalam bidang seni ini merupakan suatu anugerah yang tidak semua orang kuasai malah perlu digilap dan dicungkil sejak kecil sama seperti bakat dalam seni lukis, nyanyian, tarian dan seumpamanya.

Peranan guru dan sekolah amat penting dalam mengenal pasti kekuatan atau kepandaian seseorang murid itu dan mesti bijak mencungkil bakat mereka.

Justeru, sebagai seorang pereka grafik yang telah berkecimpung lebih 15 tahun dalam bidang seni kreatif ini, saya suka untuk berkongsi pandangan dan pengalaman saya bagi mengubah persepsi umum terutama ibu bapa tentang kerjaya sebagai pereka grafik.

Pereka grafik terdiri daripada mereka yang menyumbang idea kreatif dalam menghasilkan reka bentuk visual bagi penerbitan media cetak dan elektronik dengan menggunakan aplikasi khusus.

Mereka biasanya mengeluarkan idea kreatif sendiri dan berinspirasi dalam menyampaikan mesej tertentu melalui seni visual (foto, ilustrasi dan rekaan grafik).

Bagi individu yang menceburkan diri dalam bidang seni kreatif dan reka bentuk grafik, mereka harus mempunyai bakat serta pemikiran yang kreatif dan kritis selain menerima pembelajaran formal dalam bidang berkenaan. Mereka akan lebih berjaya jika mendapat latihan khusus di samping memperoleh pengalaman bekerja dalam bidang sama.

LUMAYAN

Untuk menghasilkan sebuah reka bentuk grafik bersifat subjektif serta memenuhi kehendak pelanggan, bukan suatu proses yang mudah.

Dalam pada itu, teknologi digital dan multimedia yang terus berkembang menjadikan bidang reka bentuk grafik juga semakin meluas serta bergerak pantas selari dengan kepesatan dunia digital pada masa kini.

Oleh hal yang demikian, semakin ramai anak muda lebih berminat untuk bekerja sebagai pereka grafik iaitu kerjaya pilihan untuk masa depan mereka.

Sebenarnya tanpa kita sedar, pereka grafik memainkan peranan penting dalam mewarnai kehidupan seharian. Cuba pandang di sekeliling, banyak iklan sama ada secara bercetak mahupun yang dilihat dalam media sosial telah mempengaruhi gaya hidup seharian kita terutama dalam pembelian makanan, pakaian dan sebagainya. Hal ini sudah tentu merupakan hasil sentuhan pereka grafik yang signifikan.

Dari aspek kerjaya, pereka grafik kini merupakan pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi dalam pelbagai industri di Malaysia termasuk media cetak dan elektronik, telekomunikasi, pengiklanan, fotografi, pendidikan, fesyen, automotif dan elektronik.

Kesimpulannya, sudah tiba masa bagi ibu bapa membuka mata dan minda bahawa kerjaya sebagai pereka grafik bukan kelas kedua ataupun untuk mereka yang kurang cemerlang dalam akademik.

Profesion ini tidak boleh dipandang remeh kerana gaji yang diterima juga lumayan malah setanding dengan kerjaya dalam bidang profesional lain. – UTUSAN

HAFIZAH MOHAMAD AHYAH, Pereka grafik di Penerbit UTM Press

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya