SAUDARA PENGARANG,
JIKA berjumpa dan bertanya kepada rakyat mengenai rasuah, mereka akan menjawab, rasuah itu tidak baik dan pemimpin yang rasuah patut di singkirkan.
Jawapan tersebut sentiasa ada dalam diri tetapi tidak tahu bagaimana hendak menterjemahkanya secara efektif, sehingga benar-benar membawa perubahan kepada negara. Mereka protes secara senyap dan tependam.
Rakyat perlu disedarkan kerana setiap ringgit yang diambil oleh pemimpin yang mengamalkan rasuah adalah satu penafian hak kepada rakyat biasa.
Aktiviti rasuah punca kenaikan harga barangan keperluan, rakyat tidak dapat menikmati perkhidmatan yang lebih baik serta menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.
Apa yang berlaku semenjak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada sistem politik. Ini dapat dilihat apabila peratusan keluar undi Pilihan Raya Kecil (PRN) Melaka dan Johor rendah.
Rakyat perlu mengambil iktibar dari kedua-dua PRN tersebut. Apabila rakyat yang tidak bersetuju dengan ahli politik yang mengamalkan rasuah tidak menterjemahkannya dalam undi secara tidak langsung memberi kumpulan-kumpulan ini persetujuan untuk meneruskan aktiviti-aktiviti mereka. Buktinya, mereka menang dengan peratusan yang amat kecil, tidak sampai 30 peratus.
Rakyat jangan kecewa dengan politik kerana politik adalah cara untuk memastikan pengurusan negara berjalan lancar dan kuasa sebenar untuk memastikan siapa yang mentadbir negara. Jika rakyat tidak mahu terlibat lagi dengan politik kerana merasa menyampah boleh menyebabkan menyebabkan akitiviti rasuah berterusan dan mungkin bertambah teruk.
Oleh itu, terjemahkan protes yang terpendam ke atas kertas undi. Pilihlah pemimpin yang wibawa. Itulah dimana kuasa rakyat yang sebenarnya.-UTUSAN
AZMAN MOHD HASHIM
Ahli Majlis Eksekutif Pusat
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)










