fbpx

Jangan ambil remeh isu kemasukan warga China

UNDANG-UNDANG ketat dan tegas perlu dikenakan terhadap pelancong dari China yang masuk ke Malaysia bagi mengelak ancaman kepada negara.

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini sebuah televisyen swasta menyiarkan berita terdapat lebih 1.2 juta warga China yang tiada rekod keluar selepas memasuki negara ini. Sementara rekod Jabatan Imigresen pula menyatakan warga China yang masuk ke negara ini dari 2018 hingga 2021 adalah lebih tujuh juta orang dengan hanya lima juta keluar semula, manakala lebih sejuta orang tidak mempunyai rekod keluar dan tidak dapat dikesan.

Jika mengikut undang-undang imigresen atas lawatan sosial atau pelancong sepatutnya mereka hanya dibenarkan berada tidak lebih dari enam bulan. Namun, jika kedatangan mereka atas permit kerja sepatutnya hanya untuk tempoh dua tahun dan perlu diperbaharui jika ingin terus bekerja.

Keadaan ini adalah sesuatu yang agak pelik dan menghairankan bahkan boleh menjadi ancaman kepada negara dalam pelbagai bentuk yang kita tidak ketahui. Ancaman mungkin dapat dilihat dan dirasai dalam jangka masa panjang.

Persoalannya adakah penguatkuasaan kita terlalu lemah, longgar ataupun memang tidak ada pemantauan sementara syarat-syarat kemasukan ke negara ini pula terlalu longgar dan mudah bagi visa lawatan dan lain-lain?

Kedatangan warga China ke Malaysia memang dialu-alukan terutama dalam sektor pelancongan, pendidikan dan pekerjaan. Namun, apabila wujudnya sejumlah besar yang gagal dikesan boleh menimbulkan rasa curiga seolah-olah mereka ada niat tersirat dan boleh menjadi ancaman kepada keselamatan, ekonomi dan politik negara.

Mungkin ada dalam kalangan mereka yang menjadi perisik dan bersembunyi serta menyamar di merata tempat. Kita sendiri tidak dapat bezakan bangsa Cina rakyat tempatan atau dari China berdasarkan bentuk fizikal.

Pihak berkuasa sepatutnya membuat pemantauan, risikan, serbuan dan pemeriksaan di tempat-tempat disyaki seperti kondominium, pangsapuri, kilang, gudang sama ada yang beroperasi secara sah atau haram.  Ini kerana dikhuatiri mereka bersembunyi di premis-premis terbabit.

Justeru, pihak berkuasa termasuk Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) harus berhati-hati dengan mengawal lebih ketat dari segi pemberian kad pengenalan dan visa kepada warga China dan sewajarnya dihadkan jumlah visa lawatan dalam satu-satu masa. Jika kuota visa penuh dan tiada rekod pelawat keluar dari negara ini maka pengeluaran visa perlu dihentikan sementara menunggu kekosongan.-UTUSAN

TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!