Empat PRK DUN di Pulau Pinang? - Utusan Malaysia

Empat PRK DUN di Pulau Pinang?

Rakyat berdebar menunggu hari pembubaran Parlimen. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan di bawah Enakmen Antilompat Parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan berpersatuan. Ia menyatakan bahawa seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hendaklah mengosongkan kerusinya jika menyertai parti politik lain.

Mahkamah Persekutuan berpandangan, sebaik sahaja seorang wakil rakyat menang atas tiket parti politik yang dipilihnya, ini bermakna beliau telah menggunakan hak berpersatuan dengan bertanding atas tiket parti politik itu.

Sebaik sahaja berada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), sifat berpersatuan seorang wakil rakyat adalah berbeza kerana beliau kini tertakluk kepada parti politik yang telah dipilih untuk bertanding selepas menerima mandat daripada pengundi yang mengamanahkan jawatan itu kepadanya.

Kesan daripada keputusan sebulat suara tujuh panel hakim itu menuntut supaya empat ADUN iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang) mengosongkan kerusi mereka.

Sebelum ini, empat ADUN dari parti komponen Pakatan Harapan (PH) bertindak sebagai wakil rakyat pembangkang yang jelas telah melanggar kehendak enakmen negeri.

MANDAT

Walaupun Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang meminta kerusi terbabit dikosongkan atas dasar telah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat, namun keempat-empat mereka telah mencabar keputusan kerajaan negeri melalui suatu permohonan semakan kehakiman.

Keputusan terbaharu Mahkamah Persekutuan itu secara jelas dengan sebulat suara memutuskan bahawa tindakan wakil rakyat berkenaan sudah hilang kelayakan mereka sebagai ADUN kerana wujud pelanggaran ke atas kehendak serta peraturan enakmen negeri.

Justeru, kesan daripada keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut secara rasionalnya layak dikategorikan terdapat empat kawasan DUN di Pulau Pinang tidak mempunyai wakil rakyat iaitu Bertam, Sungai Acheh, Telok Bahang dan Seberang Jaya.

Maka timbul persoalan sama ada tarikh pengisytiharan ADUN-ADUN berkenaan menjadi pembangkang diambil kira bagi mengadakan pilihan raya kecil (PRK) jika senario berkenaan wujud sebelum cukup tempoh tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)?

Tempoh akhir bagi mengadakan PRK untuk kerusi DUN adalah berbeza, bergantung kepada tarikh kali pertama DUN itu bersidang selepas PRU14. PRK juga tidak boleh lagi diadakan bagi DUN dalam tempoh dua tahun sebelum mandat diberikan kepada kerajaan berakhir kecuali ada keperluan khas.

Bagaimanapun sekiranya tarikh berkenaan tidak relevan kerana melebihi tiga tahun, maka soal mengadakan PRK tidak wajar mengambil tempat. – UTUSAN

RAHMAD ISAHAK, Aktivis politik dan pengundi berdaftar

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya