SAUDARA PENGARANG,
Tinjauan mendapati ramai graduan 2019, 2020 dan 2021 dalam tempoh pandemik mengalami kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan tetap mengikut kelayakan. Bagaimanapun, mereka bijak mengambil peluang bekerja sementara dalam bidang khidmat penghantaran barang keperluan dengan menghasilkan pulangan agak lumayan.
Sikap mereka yang tidak memilih pekerjaan mengikut kelulusan amat terpuji dan patut diraikan. Peranan mereka amat penting dalam memudahkan masyarakat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.
Namun, sejauh mana kefahaman generasi ini tentang kepentingan ilmu dan kelestariannya dalam meningkatkan kualiti serta kredibiliti hidup di era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) apabila Jabatan Perangkaan mendedahkan kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 enggan menyambung pengajian. Adakah pemikiran materialistik menguasai minda sehingga mereka hanyut dalam tawaran bersifat fatamorgana sebagai penghantar makanan dan barangan keperluan?
Generasi ini seolah-olah memilih kerja senang dengan pendapatan lumayan tanpa memikirkan risiko ditanggung pada hari kemudian dengan keperluan yang makin bertambah apabila mula membina keluarga dan kos kehidupan semakin meningkat. Justeru, mentaliti subsidi akan menyelinap dalam pemikiran apabila suatu hari nanti desakan hidup mula menjelma.
Mentaliti negatif masyarakat di awal kemerdekaan negara berlegar dalam dunia wanita, iaitu ‘belajar tinggi-tinggi masuk ke dapur juga’ berulang dengan frasa baharu ‘belajar tinggi-tinggi sampai ke menara gading, gaji kecil sahaja.’
Kata-kata ini cuba membunuh semangat generasi muda dalam menuntut ilmu ke peringkat lebih tinggi agar dapat menyumbang kepakaran dalam bidang-bidang penting pembangunan negara. Pemikiran ini amat bahaya dan merugikan jika dibiarkan terus menggerudi benak fikiran generasi muda.
Kealpaan tentang kepentingan ilmu dalam pembinaan jati diri dan kemahiran insan untuk kemajuan dan kecemerlangan agama, bangsa dan negara perlu digempur habis-habisan dalam kalangan remaja, keluarga dan masyarakat.
Justeru, tahun 1444 Hijrah perlu dijadikan peluang untuk menggali semula kesedaran demi kesedaran tentang kepentingan ilmu pengetahuan. Usaha ini perlu digembleng oleh pelbagai pihak agar hijrah minda bergerak rancak dan terancang supaya kelestarian Keluarga Malaysia, Pemangkin Kemakmuran terlaksana. Bersatu teguh, bercerai roboh.-UTUSAN
AIZAN ALI @ MAT ZIN
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya