Bimbang promosi ‘cedok-cedok - Utusan Malaysia

Bimbang promosi ‘cedok-cedok

GARIS panduan komuniti TikTok tidak membenarkan sesiapa sahaja mengeksploitasi platform itu untuk mengambil kesempatan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WUJUD trend tular jualan di platform perkongsian video, TikTok yang digelar ‘cedok-cedok.’ Kaedah jualan baharu ini melibatkan pelbagai barangan seperti gula-gula, perhiasan dan produk kosmetik yang dicedok secara rawak dan dijual secara siaran langsung di media sosial itu.

Dalam banyak kes, pelanggan mendapati diri mereka tertipu kerana menerima barangan tiada nilai atau tidak berbaloi dengan wang dibelanjakan. Isu lain adalah ketidakpastian nilai barangan, penerangan yang samar-samar dan kekurangan penjelasan tentang kualiti produk.

Dalam Islam, trend sebegini adalah haram kerana mengandungi unsur-unsur yang dilarang oleh syarak termasuk gharar (ketidakpastian), maisir (judi) dan menafikan hak pembeli untuk khiyar (memilih).

Unsur gharar wujud dalam setiap transaksi apabila pelanggan tidak tahu berapa banyak barangan yang akan mereka terima dan sama ada ia berbaloi atau tidak. Atas sebab ini, sekiranya penjual masih mahu menjalankan aktiviti sebegini, mereka sekurang-kurangnya hendaklah menyatakan jumlah minimum barangan yang pembeli bakal terima.

Menurut Kod Kandungan 2022, yang merupakan satu set garis panduan dan amalan terbaik mengawal kandungan dalam medium elektronik di negara ini, kandungan yang mengandungi maklumat palsu atau tidak lengkap dan berkemungkinan mengelirukan mesti dielakkan.

Merujuk pada prinsip umum yang mengawal iklan dalam Bahagian 3 Kod Kandungan 2022, semua iklan seharusnya sah, baik, jujur ​​dan benar serta tidak boleh mengelirukan pengguna.

Kod ini menetapkan kandungan pengiklanan tidak boleh menyebabkan pengguna terpedaya oleh sebarang ketidaktepatan, kekaburan, keterlaluan, kepalsuan atau sebaliknya.

Eksploitasi

Walaupun trend ‘cedok-cedok’ hanyalah sebahagian daripada helah pemasaran untuk menjual produk lain, strategi jualan ini mengandungi komponen kesamaran dari segi harga dan bilangan barang dijual.

Memandangkan hakikat pengguna tidak mengetahui dengan jelas tentang sifat dan nilai produk yang mereka dijangka terima sebagai balasan untuk wang hasil titik peluh mereka, trend ‘cedok-cedok’ lebih berkemungkinan mengelirukan pelanggan yang sudah pasti ingin menerima sesuatu bernilai dan berbaloi dengan harga dikenakan.

Oleh itu, digesa semua pengguna untuk membuat pembelian berpandukan maklumat mencukupi dan mengelak daripada bermain gimik pemasaran yang tidak mempunyai ketelusan dalam jualan mereka memandangkan populariti platform media sosial semakin kerap diguna pakai oleh penjual.

Setiap platform media sosial termasuk TikTok mempunyai garis panduan komuniti yang mereka kuat kuasa. Garis panduan komuniti TikTok tidak membenarkan sesiapa mengeksploitasi platform mereka untuk mengambil kesempatan daripada kepercayaan pengguna yang boleh membawa bahaya dari segi kewangan atau peribadi.

Oleh itu, sekiranya sesiapa di luar sana mengesan peniaga menggunakan cara tidak bertanggungjawab untuk menipu atau mengelirukan pelanggan, mereka digalakkan melaporkannya kepada pentadbir TikTok melalui fungsi pelaporan yang tersedia.

Kawal selia kendiri adalah komponen penting dalam memastikan platform media sosial kekal selamat untuk semua. – UTUSAN

MEDIHA MAHMOOD, Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi & Multimedia Malaysia (CMCF)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya