PETALING JAYA: Nestlé Malaysia terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan industri halal negara menerusi kerjasama strategik bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Kerjasama melalui inisiatif SYNERGY (Memperkukuhkan Rangkaian dan Ekosistem Anda untuk Pertumbuhan yang Berdaya Tahan) yang bertemakan “Memacu Halal, Memperkasa Komuniti” menonjolkan usaha bersama dalam memperkukuh ekosistem halal yang inklusif, lestari dan berdaya tahan.
Sebagai antara pelopor industri halal di negara ini sejak 1970an, Nestlé Malaysia bukan sahaja memberi tumpuan kepada pengeluaran produk bersijil halal, malah turut memperluaskan peranannya dalam bidang pendidikan, pembangunan industri, penglibatan komuniti dan pengukuhan rantaian bekalan.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, Malaysia telah membina reputasi kukuh di peringkat antarabangsa dalam bidang halal dan syarikat itu berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan tersebut.
“Komitmen halal kami melangkaui operasi perniagaan semata-mata. Bersama Jakim dan rakan strategik lain, kami terus membangunkan ekosistem halal yang mampu memperkasakan belia, menyokong usahawan dan memperkukuh rantaian bekalan tempatan,” katanya kepada media Nestle dan Jakim sempena Synergy Halal Nestle Malaysia baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Muhyidin Aziz @ Saari berkata, pembangunan ekosistem halal yang diyakini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, industri dan masyarakat.
“Inisiatif yang dilaksanakan oleh Nestlé Malaysia mencerminkan bagaimana sektor swasta boleh memainkan peranan penting dalam memperkukuh piawaian halal negara serta meningkatkan keupayaan industri.
“Dalam aspek pembangunan bakat dan pendidikan, program Halal@School yang dijalankan bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah melibatkan lebih 6,000 pelajar di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Selain itu, program Halal@STEM yang diperkenalkan pada 2025 dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menarik penyertaan lebih 300 pelajar sekolah menengah di Melaka dan Terengganu bagi meningkatkan minat terhadap bidang sains dan teknologi berteraskan halal,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh keusahawanan pula, Program Nestlé Youngpreneurs telah memberi latihan kepada 200 pelajar universiti dalam bidang perniagaan dan amalan halal.
Selain itu, Program Bimbingan PMKS yang dijalankan bersama Halal Development Corporation (HDC) dan SME Corp Malaysia telah membantu lebih 1,200 perusahaan kecil dan sederhana mendapatkan pensijilan halal.
Terbaharu, Nestlé Malaysia turut memperkenalkan program bimbingan pensijilan halal pertama untuk penyedia logistik pihak ketiga bersama Jakim, melibatkan 50 peserta daripada 27 syarikat logistik bagi memperkukuh pematuhan halal dalam rantaian bekalan.
Sementara itu, usaha memperluas kefahaman masyarakat mengenai halal turut diperkasakan melalui program audio siar bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang telah mencapai lebih 120,000 pendengar digital dan hampir 600,000 pendengar radio di seluruh negara.
Secara keseluruhannya, kerjasama strategik antara Nestlé Malaysia dan Jakim ini dilihat mampu memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global, di samping membuka lebih banyak peluang pembangunan ekonomi dan bakat tempatan dalam sektor halal yang semakin berkembang. – UTUSAN











