fbpx

Bimbang lambakan makanan berlabel biokejuruteraan

LABEL yang tertera perkataan mengandungi bahan makanan biokejuruteraan (dalam bulatan). – IHSAN PEMBACA

SAUDARA PENGARANG,

PADA minggu lalu, saya membeli kerepek kentang keluaran sebuah syarikat dari luar negara. Cuma menjadi kemusykilan saya tertera pada label produk berkenaan perkataan mengandungi bahan makanan bioengineered (biokejuruteraan).

Difahamkan ia adalah label baharu yang mula dikuatkuasakan di Amerika Syarikat sejak 1 Januari lalu. Saya berharap Kementerian Kesihatan (KKM) dapat memberi penjelasan kerana ada pihak mendakwa perkataan biokejuruteraan itu bermaksud mengandungi produk berasaskan organisma yang diubah suai secara genetik (GMO).

GMO merujuk kepada organisma atau benda-benda hidup seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang telah melalui proses pengubahsuaian bahan genetik iaitu asid deoksiribonukleik (DNA) melalui kaedah kejuruteraan genetik.

Kejuruteraan genetik bermaksud makanan yang telah dimasukkan kod genetik melalui proses pindahan gen asing daripada tumbuh-tumbuhan atau haiwan lain.

Tujuan GMO diperkenalkan adalah untuk memberi manfaat kepada manusia, sebagai contoh meningkatkan kualiti, nutrisi, rasa, kelazatan atau daya tarikan pada sesuatu makanan.

Ia juga bagi meningkatkan hasil tanaman, mengurangkan masa kematangan tumbuhan, menghalang penyakit atau serangga dan meningkatkan ketahanan tumbuhan ketika dilanda kemarau atau banjir.

Pada masa sekarang banyak negara mengharamkan kemasukan barangan dan melarang penanaman tumbuh-tumbuhan yang mempunyai kaitan dengan GMO. Negara terbabit bimbang GMO memudaratkan kesihatan manusia pada jangka masa panjang termasuk kesan toksik dan mendatangkan alergi kepada tubuh.

Walaupun Malaysia sejak sekian lama membenarkan kemasukan jagung dan kacang soya yang telah melalui proses GMO, rakyat perlu didedahkan secara lebih jelas kesan-kesannya kepada kesihatan bagi mengelak mereka terus bimbang. – UTUSAN

HAJI ABDULLAH, Rawang, Selangor

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN