Tegurlah kelemahan mat rempit itu

Tegurlah kelemahan mat rempit itu

JEMPUTAN pihak sekolah kepada bekas belia berisiko perlu diraikan selagi mesej yang sampaikan adalah positif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

NEGARA baru-baru ini dilanda polemik apabila pempengaruh media sosial, Haqiem Stopa dibawa masuk memberi ceramah motivasi di sebuah sekolah menengah.

Pempengaruh tersebut mula mendapat perhatian masyarakat apabila dia berjaya menghimpunkan lebih 800,000 pengikut di akaun media sosial miliknya.

Mesej-mesej positif cuba ditonjolkan olehnya dengan memberi semangat kepada golongan belia bahawa kegagalan dalam akademik tidak bermaksud gagal dalam kehidupan.

Dia berjaya membuktikan yang bekas mat rempit sepertinya mampu berjaya dalam kehidupan jika ada usaha dan niat kental.

Namun, terdapat kritikan oleh masyarakat terhadap gaya bahasa yang dia gunakan semasa penyampaian di media sosial kerana dianggap kasar dan menggunakan kosa kata kurang sesuai.

Melihat kepada mesej positif yang cuba ditonjolkan olehnya, maka penganjur program, Cerita Orang Gagal (COG) telah mengusahakan agar pempengaruh tersebut dibawa masuk ke sebuah sekolah menengah di Sungai Besi, Kuala Lumpur untuk berkongsi pengalaman dan memberi motivasi kepada belia yang masih bersekolah.

Penyampaiannya di dalam program tersebut lebih kepada penceritaan jalan salah yang pernah dia pilih dan ingatan supaya golongan belia bersekolah tidak mengikut jalan sama.

Pendekatan tersebut dianggap sesuai oleh penganjur memandangkan kumpulan sasar mereka ingin dekati ialah belia berisiko yang masih mampu diselamatkan di peringkat sekolah.

Penganjur telah mengadakan program ini sejak 2018, malah penganjuran semenjak peringkat awal mendapat sokongan Majlis Belia Malaysia (MBM) memandangkan penggeraknya adalah bekas pemimpin belia (kini beliau bergerak sebagai pembimbing belia).

COG pernah membawa masuk beberapa bekas belia berisiko ke dalam sekolah menggunakan platform sama bagi memberi nasihat dan motivasi. Namun, sebelum ini masyarakat tidak pernah mempersoalkan pendekatan tersebut malah pihak sekolah menyambut baik usaha yang dilakukan oleh penganjur.

Tokoh

Sokongan MBM terhadap aktiviti yang membakar semangat golongan belia bersekolah tidak hanya tertumpu kepada program seperti COG. MBM juga menyokong program yang membawa masuk tokoh-tokoh belia ke sekolah seperti Tokoh Belia Negara atau atlet sukan yang telah mengharumkan nama negara.

Secara umumnya MBM tidak membezakan pengalaman berharga yang mampu dikongsikan oleh mana-mana pihak. Setiap pengalaman tersebut boleh dijadikan panduan oleh golongan belia bersekolah selagi ia disampaikan dengan cermat.

Seharusnya polemik pempengaruh tersebut perlu dilihat secara adil. Usaha COG mengangkat mesej yang dibawa oleh pempengaruh berkenaan perlu dipuji kerana kebaikan tidak dilihat dari bibir yang menuturkannya, namun dilihat daripada makna yang dilontarkan.

Justeru, MBM berpandangan jemputan oleh pihak sekolah kepada bekas belia berisiko perlu diraikan selagi mesej yang sampaikan adalah positif dan menyeru ke arah kebaikan.

Nasihat yang baik perlulah disampaikan kepada golongan belia sejajar dengan mesej surah al-Baqarah ayat 206:

“Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertakwalah engkau kepada Allah” timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahanam dan demi sesungguhnya, (neraka jahanam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.”

Masyarakat juga perlu berlapang dada dalam menilai pempengaruh media sosial tersebut. Tegurlah kelemahannya yang perlu diperbaiki, namun jangan ketepikan nasihat dan niat baik dia yang mahu mencegah golongan belia bersekolah daripada terjebak ke jalan salah. – UTUSAN

MOHD. FAUZI FADZIL
Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan MBM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN