SAUDARA PENGARANG,
SUDAH sampai masanya diperkasakan sistem kesihatan awam di Malaysia dengan dibina lebih banyak hospital-hospital kerajaan di bandar-bandar besar di mana kemudahan yang sedia ada mengalami masalah kesesakan.
Menambah lebih ramai kakitangan kesihatan termasuk doktor, jururawat, juru fisioterapi dan sebagainya juga harus menjadi keutamaan kerajaan.
Diharapkan kerajaan mewujudkan jawatan jururawat komuniti untuk melawat pesakit lumpuh dan kanak-kanak bersatus orang kurang upaya (OKU) di rumah untuk mencuci luka, membuat fisioterapi, menasihat keluarga tentang bagaimana menjaga pesakit dan sebagainya.
Perlu juga dilibatkan 7,000 orang doktor perubatan am yang sedia ada di Malaysia dalam pengendalian kes-kes kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan asma.
Ini adalah penyakit jangka masa panjang dan memerlukan rawatan susulan yang rapi untuk mengurangkan komplikasi. Sistem bayaran capitation (ikut bilangan orang) harus diamalkan supaya rawatan diterima oleh para pesakit di klinik perubatan am adalah percuma. Ia seperti sistem Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di England).
Sebahagian daripada levi pekerja asing harus disalurkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membiayai kos rawatan bagi pekerja migran.
Ini membolehkan caj rawatan yang dikenakan terhadap pekerja migran di klinik dan hospital kerajaan berada pada paras yang sama dengan caj yang dikenakan terhadap rakyat Malaysia.
Sebanyak 90 peratus kos plat, skru, sten, kanta mata dan sebagainya harus ditanggung oleh kerajaan supaya rakyat tidak dibebani dengan bayaran yang tinggi untuk rawatan.
Selain itu, perlu dikawal penghijrahan doktor ke sektor swasta dengan cara mengadakan moratorium terhadap pembukaan hospital swasta baharu. Hospital swasta yang sedia ada boleh dibenarkan untuk terus beroperasi. Tetapi jangan membenarkan pembinaan hospital swasta baharu buat masa ini.
Dalam pada itu, kerajaan perlu mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Khusus untuk kakitangan kesihatan supaya sistem penggajian dapat diperbaiki. Harus juga diperkenalkan sistem sabatikal selama tiga bulan bagi setiap empat tahun perkhidmatan untuk doktor pakar kerajaan.
Perlu juga ditambah peruntukan untuk KKM. Pada 2021, peruntukan bagi kementerian berkenaan adalah sebanyak RM32 bilion. Jumlah ini harus ditambah lagi sebanyak RM6 bilion setiap tahun untuk tempoh lima tahun yang akan datang.
Dari RM32 bilion akan meningkat kepada RM38 bilion, seterusnya RM44 bilion, RM50 bilion, RM56 bilion dan RM62 bilion supaya dapat membiayai program-program yang telah saya syorkan.
Jangan dikenakan cukai baharu terhadap golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) atau mewajibkan bayaran premium insurans kesihatan.
Ini kerana wujudnya penekanan gaji ke paras yang rendah (wage suppression) di Malaysia. Orang ramai sedang berkorban dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dengan menerima gaji yang jauh di bawah nilai pengeluaran pekerja kita.
Oleh itu, perkhidmatan kesihatan yang berkualiti harus dipandang sebagai upah sosial (social wage) yang telah di prabayar (dibayar dahulu sebelum digunakan) oleh pekerja dan petani kita.
Akhir sekali, kerajaan harus memastikan belanjawan perkhidmatan kesihatan awam dibiayai oleh cukai terhadap golongan yang terkaya dan syarikat-syarikat besar.-UTUSAN
DR. JEYAKUMAR DEVARAJ
Kuala Lumpur










