SAUDARA PENGARANG,
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa semua ahli Parlimen memberikan sokongan penuh terhadap Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok apabila ia dibentangkan demi kesejahteraan dan kesihatan anak muda generasi akan datang.
Kabinet telah membenarkan rang undang-undang ini dan sekali gus bermakna ia berkemungkinan akan dibentangkan dalam mesyuarat Dewan Rakyat yang bermula 18 Julai lalu.
Apabila ia dibentangkan di Dewan Rakyat, CAP meminta semua ahli Parlimen memberikan sokongan sepenuhnya untuk rang undang-undang kawalan tembakau ini.
Kebanyakan ahli Parlimen tidak menyatakan pendirian mereka mengenai ‘permainan akhir generasi’ ini untuk merokok dan vape sejak Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkannya secara terbuka pada Januari lalu.
Sehubungan itu, CAP mahukan semua ahli Parlimen memberikan sokongan sepenuhnya untuk undang-undang baharu ini diluluskan.
Kami juga akan menyenaraikan nama-nama ahli Parlimen yang tidak memberikan sokongan dan akan mendedahkannya kepada rakyat.
Selain itu, CAP juga meminta semua menteri besar dan ketua menteri untuk tidak lagi mengeluarkan lesen baharu menjual vape dan e-rokok demi kesejahteraan dan kesihatan golongan muda.
Ini kerana tinjauan olah CAP baru-baru ini mengenai penggunaan vape dan e-rokok dalam kalangan golongan muda mendapati meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu dan ramai gadis muda yang ketagih dengan peranti ini.
Sebelum ini CAP turut menggesa vape dan e-rokok diharamkan demi generasi masa depan yang lebih sihat.
Lebih banyak kempen pendidikan kesihatan mengenai bahaya vape dan e-rokok perlu dimulakan di sekolah dan universiti. Ibu bapa juga mestilah memainkan peranan yang sangat penting dalam perkara ini untuk mendidik anak-anak mereka.-UTUSAN
N.V. SUBBAROW
Pegawai Pendidikan
Persatuan Pengguna Pulau Pinang