SAUDARA PENGARANG,
Sebut sahaja cukai, semua orang gusar sehingga ada usaha-usaha untuk mengurangkannya. Kita mesti bersedia dari segi mental kerana cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dibatalkan mungkin diperkenalkan semula.
Percukaian adalah sebahagian besar daripada polisi kewangan kerajaan yang mempunyai beberapa kepentingan. Antaranya untuk menjana pertumbuhan dan menjaga kestabilan ekonomi. Ia juga dapat menjana pekerjaan dan mengatasi masalah ketidakseimbangan dalam ekonomi.
Selain itu, pendapatan cukai adalah penting jika kita berkehendakkan kerajaan menyediakan barangan atau perkhidmatan awam.
Sistem pasaran bebas gagal menyediakan barangan dan perkhidmatan awam. Tanpa hasil cukai mencukupi, kerajaan tidak dapat menyediakannya dengan lengkap.
Pendapatan cukai juga untuk menampung perbelanjaan bagi menguruskan negara termasuk perkhidmatan awam serta keselamatan seperti polis, tentera dan bomba.
Ia juga digunakan bagi menyedia dan mengurus infrastruktur seperti jalan dan pengangkutan awam serta menyedia dan mengurus kemudahan utiliti termasuk elektrik, gas dan air.
Cukai dibahagikan kepada dua, iaitu cukai langsung dan cukai tidak langsung. Cukai langsung dikutip daripada pembayar cukai selepas dia menerima pendapatannya dan terus dibayar kepada kerajaan melalui agensi pemungut cukai.
Contoh cukai langsung ialah cukai pendapatan individu dan cukai korporat yang berasaskan keuntungan syarikat. Cukai tidak langsung pula dipungut oleh peruncit dan kutipannya diserahkan kepada kerajaan.
Mengikut Bajet 2022, kerajaan menyasarkan hasil cukai sebanyak RM171.4 bilion atau 10.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Alkohol
Peratusan ini rendah kerana pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan. Peratusan yang dianggap optimum adalah 15 peratus daripada KDNK.
Sumbangan cukai langsung adalah sebanyak 127.1 bilion atau 74.3 peratus daripada pendapatan cukai kerajaan dan sumbangan cukai tidak langsung pula sebanyak 44.1 bilion atau 25.7 peratus daripada pendapatan cukai kerajaan.
Selain digunakan untuk membiayai pengeluaran barangan dan perkhidmatan awam, cukai eksais yang dkutip daripada pengilang atau pengedar juga boleh digunakan untuk mengurangkan penggunaan sesuatu barangan yang dianggap tidak sihat seperti minuman alkohol atau rokok.
Kadar cukai rendah menjadi insentif kepada individu untuk bekerja lebih kuat bagi menjana pendapatan dan membayar cukai mereka.
Sebaliknya, kadar cukai terlalu tinggi mempunyai kesan negatif dan tidak dapat menjana hasil cukai tinggi kerana ia tidak menggalakkan individu bekerja lebih kuat dan ini mengurangkan kesediaan dan keupayaan mereka membayar cukai.
Ada pihak percaya sistem percukaian atau campur tangan kerajaan dalam sistem pasaran bebas akan mengherotkan pasaran kerana cukai akan mengehadkan pilihan pengguna atau penduduk menggunakan pendapatan mereka.
Keputusan untuk perbelanjaan hasil cukai ditentukan oleh kerajaan dan ini tidak semestinya menggambarkan pilihan individu pembayar cukai. – UTUSAN
NASARUDDIN ARSHAD
Bekas pensyarah ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)