SAUDARA PENGARANG,
ILMU pengurusan kewangan adalah satu kemahiran yang perlu dikuasai terutama ketika negara dilanda inflasi. Dalam ketidaktentuan ekonomi semasa, bukan golongan dewasa atau yang bekerja sahaja perlu menyusun strategi dalam pengurusan kewangan, malah belia dan pelajar sekolah juga tidak terkecuali.
Sikap boros berbelanja dan terikut-ikut gaya hidup moden harus dikikis. Ini kerana pengurusan kewangan yang lemah cenderung untuk membawa mana-mana individu kepada bankrap dan masalah hutang yang banyak.
Oleh itu, satu tinjauan secara rawak telah dijalankan dalam kalangan remaja berusia 14 hingga 17 tahun khususnya pelajar sekolah baru-baru ini untuk memahami penguasaan pengurusan kewangan mereka.
Dapatan kajian membuktikan 87 peratus responden bersetuju ilmu pengurusan kewangan perlu diterapkan seawal usia muda. Dalam konteks peranan ibu bapa, 45 peratus responden mengatakan perbincangan mengenai ilmu pengurusan kewangan di antara responden dan ibu bapa adalah tidak kerap.
Lebih membimbangkan, 23 peratus responden mengakui perbincangan mengenai pengurusan kewangan tidak pernah terjadi antara mereka dan ibu bapa.
Dalam pada itu, 61 peratus responden bersetuju dengan langkah Kementerian Pendidikan memperkenalkan topik Matematik Pengguna: Simpanan dan Pelaburan, Kredit dan Hutang dalam subjek Matematik tingkatan tiga.
Pelajar seawal usia 15 tahun sudah mula diterapkan dengan asas kepada simpanan dan pelaburan saham, pelaburan hartanah, malah pengurusan kredit dan hutang.
Topik ini juga menarik perhatian pelajar kerana turut membincangkan mengenai kebaikan dan keburukan kad kredit serta pinjaman peribadi. – UTUSAN
SHAHIRAH ABU BAKAR & ZATIL AKMAL ZULKIFLI, Universiti Putra Malaysia (UPM)