Pantau kenaikan harga kelapa sawit

Pantau kenaikan harga kelapa sawit

ADA syarikat tapak semaian menjual anak pokok kelapa sawit lebih RM30 sebatang. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

INDUSTRI sawit negara boleh pincang jika kuasa undang-undang sangat lemah. Industri akan merana jika dibiarkan kelemahan ini seperti kisah Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Terdapat beberapa situasi yang mungkin akan berlaku jika kerajaan tidak melakukan pemantauan.

Pertama, kes kecurian buah kelapa sawit yang melonjak. Ini semuanya menyebabkan pekebun kecil tidak tidur lena.

Kedua, kes harga anak benih kelapa sawit melambung tinggi dan sukar dikawal oleh kementerian bertanggungjawab sehingga membebankan pekebun kecil.

Saya difahamkan ada syarikat tapak semaian menjual sebatang anak pokok lebih RM30, padahal harga sebelum ini sekitar RM17 hingga RM20 sahaja.

Ketiga, syarikat pembungkusan semula minyak masak akan menerima implikasi kenaikan harga minyak sawit yang dibeli dari kilang penapis.

Dahulu sebotol minyak masak tiada subsidi oleh kerajaan dianggarkan berharga di bawah RM30 bagi botol lima kilogram (kg). Tidak mustahil suatu masa nanti harganya boleh mencecah sehingga RM50 sebotol.

Keempat, akan ada rungutan daripada kilang penapis minyak sawit mengenai harga buah kelapa sawit terlalu tinggi dikenakan.

Kelima, kerajaan tentu serba salah untuk menaikkan harga minyak masak peket satu kg walaupun berlaku peningkatan penggunaannya dalam kalangan rakyat.

Minyak masak boleh dikategorikan sebagai bahan terpenting dalam kehidupan penduduk dunia sekarang. Boleh dikatakan di dapur dan bilik mandi semua barangan dibuat daripada lemak sumber tanaman termasuk kelapa sawit.

Situasi kita sekarang ini adalah seperti kisah dalam lagu rakyat, Bangau Oh Bangau. Semua rantaian bekalan kelapa sawit daripada anak pokok sehingga minyak yang telah ditapis terlibat dengan kenaikan.

Sekiranya pemantauan dan penguatkuasaan agensi kerajaan lemah, rakyat harus bersedia dengan segala kemungkinan. – UTUSAN

IBNU ARASY DZIKRULLAH
Kepala Batas, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN